loading...
Loading...
Sejuta Kucing Berbulu Tebal Yang Gemar Berburu di Siberia, Rusia
JIKA melihat pada ladang milik Alla Lebedeva, ia kelihatan sama sahaja dengan ladang-ladang yang lain yang ada di Rusia.
Beberapa ekor ternakan seperti ayam dan itik berlegar-legar di sekitar ladangnya yang terletak di daerah Prigorodny, Siberia, Rusia.
Begitu pun, ladang yang dinamakan Koshlandia Farm itu sebenarnya berbeza dan menjadi sensasi internet kerana ia dipenuhi dengan kucing-kucing comel yang besar dan berbulu tebal.
Pemilik ladang itu, Alla Lebedeva bersama suaminya, Sergy Lebedeva kini memiliki hampir sejuta ekor kucing yang tinggal di ladang itu.
“Perkataan koshlandia bermaksud perkampungan kucing dalam bahasa Rusia dan saya rasa nama itu cukup bersesuaian untuk menggambarkan ladang ini.
“Jika orang bertanya kepada saya berapa ekor kucing yang tinggal di Koshlandia, jawapan saya ialah sejuta atau mungkin lebih daripada itu,” ujar Alla.
Membuka cerita, wanita berusia 59 tahun itu berkata, kucing pertama yang dibelanya ialah seekor kucing Siberia berbulu tebal yang dinamakan Babushka.
“Saya membela Babushka pada tahun 2003. Setahun kemudian, Babushka melahirkan lima ekor anak kucing.
“Kini, ladang ini dipenuhi dengan kucing-kucing comel dan saya amat sukakannya,” tutur Alla.
Menjaga ternakan
Kesemua kucing tersebut tidur di dalam reban ayam, di atas bumbung bangunan dan di kawasan lapang sekitar ladang itu.
Tempat tidur mereka juga amat selesa kerana Alla akan memastikan kesemua kucing peliharaannya berasa selesa mendiami ladang Koshlandia.
Ada antara kucing-kucing itu yang akan menjaga binatang ternakan diladang milik Alla dan suaminya seperti ayam dan arnab daripada tikus-tikus perosak di kawasan sekitar.
Menurut wanita itu lagi, dia tidak sedikit pun berasa rimas dengan keadaan ladangnya yang dipenuhi dengan terlalu banyak kucing kerana Alla cukup obses dengan haiwan comel tersebut.
Setiap hari, dia akan memuat naik berpuluh-puluh keping foto kucingnya di laman sosial Facebook dan Twitter.
Foto-foto Alla menjadi tular dan ramai yang melahirkan hasrat untuk melawat ladang wanita itu.
“Foto-foto kucing di ladang Koshlandia mula menjadi tular kira-kira dua tahun lalu.
“Begitu pun, ramai yang menyangka kucing-kucing peliharaan saya merupakan baka Norwegian kerana ia dipopularkan oleh satu laman web dari Norway,” ujar Alla kepada akhbar tempatan Siberia, Siberian Times.
Mengulas lanjut, Alla memberitahu ramai yang bertanya kepadanya bagaimana dia dan suaminya mampu untuk memuatkan sehingga sejuta ekor kucing di ladang tersebut.
“Kucing-kucing peliharaan saya terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama akan pergi keluar berburu, manakala kumpulan kedua pula akan tinggal dan makan makanan yang saya sediakan buat mereka.
“Kumpulan kucing yang berburu lazimnya tidak pulang ke rumah sehingga empat bulan lamanya,” ujar Alla.
Manja
Biarpun memiliki terlalu banyak kucing, Alla menghafal nama setiap kucing-kucingnya.
“Ryzhik, Rych dan Ludwig adalah kucing jantan yang jarang pulang ke rumah kerana keluar berburu, manakala Pukh, Lapych dan Tema pula adalah kucing betina yang sentiasa berada di ladang ini,” ujarnya.
Alla yang tidak mahu wajahnya didedahkan menambah, kucing Siberia berbeza dengan kucing-kucing lain kerana sifatnya liar, gemar berburu dan berdikari.
Begitu pun, mereka cukup manja dan amat menghormati Alla sebagai tuannya.
“Kesemua kucing saya tahu saya adalah tuannya. Mereka juga amat menghormati cucu perempuan saya, Maria dan tidak pernah mengasari gadis itu.
“Kami hidup harmoni dan saya amat bahagia,” ujarnya menutup bicara.
Ladang Koshlandia yang terletak di Siberia, Rusia dipenuhi dengan kucing-kucing comel yang juga bertindak sebagai penjaga kepada haiwan-haiwan ternakan di situ.
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan