loading...
Loading...
Jika Nampak Gambar Barang Rampasan Dari Rumah Najib Ini Jangan Sebar Lagi
PETALING JAYA: Beberapa gambar yang tular menunjukkan jam tangan dan beg tangan mewah serta sejumlah wang tunai yang kononnya dirampas dari kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah palsu.
Carian pantas menerusi Google Imej mendedahkan beberapa imej yang tular itu adalah gambar stok.
Satu imej yang menunjukkan kotak yang mengandungi enam jam tangan Rolex bersalut emas dikongsi di laman media sosial Pinterest manakala satu lagi gambar bagasi yang dipenuhi susunan mata wang Amerika Syarikat (AS) adalah dari kes rompakan pada Jun 2016 yang berlaku di AS.
Foto yang paling banyak tersebar adalah 27 beg tangan Hermes Birkin pelbagai warna yang dibentangkan dengan kemas seperti di atas lantai ruang tamu.
Foto tersebut sebelum ini dikongsi di laman Facebook Sarawak Report yang mengatakan ia adalah gambar yang tidak disahkan kononnya adalah beg berjenama milik Datin Seri Rosmah Mansor yang dianggarkan bernilai RM20 juta.
Pada Sabtu, premis barangan mewah berpangkalan di Singapura, Shopfirstluxury menjelaskan bahawa gambar berkenaan diambil di bilik pameran mereka.
"Jika sesiapa menerima penyiaran ini (gambar tular), sila jangan menyebarkannya lagi menggunakan gambar ini," tulis Shopfirstluxury di Instagram.
"Dalam era maklumat pantas ini, mari kita menjadi pembaca berita yang bertanggungjawab, dan berfikir dua kali sebelum berkongsi dengan rakan dan keluarga anda," tambahnya.
Gambar koleksi beg tangan mahal menjadi tular sejak beberapa hari selepas hari mengundi pada masa yang sama apabila beberapa anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membuat laporan polis yang mendakwa mereka mempunyai maklumat mengenai dakwaan cubaan untuk memindahkan dan menyembunyikan sehingga 50 beg tangan Birkin yang didakwa milik Rosmah di kediaman mewah di Kuala Lumpur.
Polis melakukan pemeriksaan di enam lokasi yang dikaitkan dengan Najib, dalam siasatan mereka terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak 16 Mei.
Pada 18 Mei, polis merampas 284 kotak berisi beg tangan dan jam tangan berjenama, barang kemas dan wang tunai dalam pelbagai mata wang dari tiga kondominium di Pavilion Residences di Kuala Lumpur.
Terdapat gambar menunjukkan polis mengangkut barang dan kotak berwarna oren mengandungi beg tangan berjenama yang dirampas dalam serbuan itu, tetapi polis tidak mengeluarkan sebarang imej yang mengesahkan barang-barang yang dirampas.
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan