loading...
Loading...
Wartawan Gembira Tun M Kembali Jadi Perdana Menteri
oleh Shahbudin Husin
Bagi seseorang wartawan di meja berita, membuat liputan majlis atau sidang akhbar yang melibatkan Perdana Menteri bukan saja suatu kelebihan, tapi juga merupakan kebanggaan.
Sebab itu, wartawan yang dihantar untuk membuat liputan bagi majlis seperti itu biasanya adalah daripada kalangan yang agak senior, berani mengajukan soalan serta mempunyai gaya penulisan yang meyakinkan.
Para editor dengan itu akan membuat pilihan yang berhati-hati untuk menghantar wartawan ke majlis yang melibatkan kehadiran Perdana Menteri, lebih-lebih lagi jika ada sidang akhbar selepasnya kerana mahukan berita mengenainya benar-benar memuaskan.
Di era Tun Mahathir Mohamad misalnya, kebanggaan, kelebihan dan kepuasan dapat menghadiri majlis atau sidang akhbar melibatkan Perdana Menteri memang tiada taranya.
Selalunya apa saja yang keluar daripada mulut beliau pasti akan menjadi berita yang menarik. Lebih daripada itu, Tun Mahathir juga jarang-jarang enggan memberi jawapan, mengelak atau memberi jawapan “no komen.”
Di zaman Tun Abdullah Badawi, walaupun beliau juga selalu mengadakan sidang akhbar atau menjawab soalan wartawan, tetapi jawapannya selalunya meleret-leret serta kurang nilai beritanya.
Tetapi, sejak Najib Razak menjadi Perdana Menteri pada 2009, kebanggaan wartawan menghadiri majlis yang dihadiri Perdana Menteri seakan-akan sudah hilang kemegahannya.
Ini kerana mereka hanya akan membuat liputan terhadap ucapannya saja. Tiada lagi sidang akhbar atau peluang untuk wartawan bertanya soalan secara langsung selepas majlis berakhir.
Semuanya sudah tiada. Najib seolah-olah menjadi pemimpin yang tidak mesra media, tidak suka menjawab soalan wartawan dan seperti pemimpin bangsawan daripada atas kayangan.
Dalam banyak keadaan pula, berita-berita yang melibatkan Perdana Menteri lebih selalu dipetik oleh media melalui laman twitter atau blog kepunyaan Najib semata-mata.
Najib ternampak lebih suka memperkatakan sesuatu perkara atau isu melalui medium tersebut berbanding bercakap secara langsung dengan wartawan.
Kalau ada pun sidang akhbar yang wartawan boleh bertanya soalan kepada Najib, ia hanyalah ketika Perhimpunan Agung UMNO atau selepas beliau mempengerusikan mesyuarat bulanan MT UMNO.
Namun, dalam kedua-dua majlis tersebut, hanya wartawan tertentu atau daripada media pro kerajaan saja yang dibenarkan hadir untuk membuat liputan.
Sebab itulah sidang media Najib sewaktu Perhimpunan Agung UMNO atau selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO tidak terdapat soalan-soalan panas daripada para wartawan kerana media-media bebas tidak pernah dibenarkan hadir membuat liputan, apalagi untuk bertanyakan soalan.
Kini, dengan kembalinya semua Tun Mahathir, para wartawan seakan-akan memperolehi kembali kegembiraan yang sudah lama hilang itu.
Melihat beberapa sidang akhbar Tun Mahathir di mana wartawan bebas bertanya, mendapat jawapan yang memuaskan, malah kadangkala Perdana Menteri sempat bergurau dan mengusik mereka, selain kerap juga membuat aksi mencuit hatinya, ia benar-benar memberi kegembiraan dan kepuasan kepada mereka.
Malah dalam satu sidang media, apabila ada wartawan meminta Tun Mahathir melambai-lambai tangan sebelum mahu meninggalkan majlis, beliau dengan “sporting” dan wajah tersenyum melakukannya.
Ia kemudian membuatkan semua wartawan bertepuk tangan sambil gambarnya melambai tangan itu dirakam tanpa henti.
Itulah Tun Mahathir, kelebihannya hampir tiada pada semua Perdana Menteri yang lain, apatah lagi pada Najib.
Jangankan rakyat, wartawan pun lebih gembira apabila beliau kini kembali menjadi Perdana Menteri.
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan