loading...
Loading...
‘Saya Lebih Dikenali Sebagai Ibu Shahrukh Khan’ – Farida Jalal
Bagi mereka yang menggemari filem Bollywood atau pun Hindustan, kelibat wanita ini dalam filem-filem popular bukanlah asing lagi.
Bahkan dia juga cukup sinonim dengan watak ibu dan sering kali memainkan watak sebagai ibu kepada megastar Bollywood, Datuk Shahrukh Khan.
Antara filem yang pernah dibintanginya adalah Dilwale Dulhania Le Jayenge, Dil To Pagal Hai, Duplicate, Soldier, Kuch Kuch Hota Hai, Kaho Naa… Pyaar Hai, Chori Chori Chupke Chupke, Kabhi Khushi Kabhie Gham dan banyak lagi.
Terbaru, wanita berusia 68 tahun turun ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan filem terkini lakonannya, I’m Not a Terrorist, yang juga terbitan produksi dari Malaysia, White Merpati Entertainment.
Farida berkata dia juga berasa sangat berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan produksi luar dan berharap peluang sebegini akan datang lagi pada masa depan.
“Saya berpeluang bekerjasama bukan sahaja dengan pelakon yang berbakat besar, tetapi juga dengan pengarah yang tahu apa yang dia mahukan.“Tidak ada apa yang perlu saya rungutkan, Arjin juga tahu apa yang dia mahukan dan tidak sukar untuk bekerjasama dengannya.“Saya harap peluang sebegini akan datang lagi pada masa depan dan mungkin melibatkan pelakon yang lebih dikenali di sini,” katanya.
Ditanya mengenai Malaysia dan penerimaan masyarakat tempatan di atas kedatangannya, Farida yang ketika itu agak kepenatan kerana melalui perjalanan yang jauh secara berseloroh menyifatkan orang lain mengenalinya sebagai ibu Shahrukh Khan.
“Saya tak fikir orang mengenali saya sebagai Farida Jalal, tapi mereka kenal kerana saya sering menjadi ibu Shahrukh Khan di dalam filem.
“Bagaimanapun saya amat menyukai Malaysia dan berharap akan dapat datang lagi dan lagi ke sini. Malah saya juga rasa saya perlu menguasai bahasa di sini agar mudah untuk saya berbual.“Rakyat Malaysia terutama generasi muda juga sangat baik. Mereka sangat mengutamakan saya dan mementingkan keselesaan saya dari mula saya tiba.“Insya Allah kalau ada rezeki saya mahu ke sini lagi selepas ini,” ujarnya yang menggalakkan pelakon muda untuk berani melakukan apa yang mereka mahu dan jangan menanti waktu serta berfikir untuk melakukan apa yang mereka mahu.
‘Berlakon hingga hujung nyawa’
Sementara itu, ditanya tentang desas-desus yang mengatakan dia bakal bersara dari bidang lakonan, lantaran kelibatnya dalam bidang lakonannya yang semakin berkurangan, Farida pantas menafikannya.
Bahkan secara berseloroh, dia sempat bertanya adakah penonton sudah tidak mahu melihatnya lagi di kaca TV mahupun layar perak?
Jelas Farida, selagi hayat di kandung badan, dia akan meneruskan karier lakonannya seperti biasa.
“Lakonan sudah sebati dengan diri saya, malah sehingga nafas terakhir pun saya akan berlakon.“Cuma sebenarnya saya dari dulu lagi seorang yang agak memilih. Selalunya saya akan nantikan tawaran yang betul-betul sesuai dengan diri saya sebelum menerimanya.“Bagaimanapun tidak ada spesifik watak bagaimana yang saya mahukan. Malah kalau diberi lagi watak sebagai ibu, saya sedia untuk menjayakannya.“Bagi saya setiap watak itu berbeza kerana filem yang dijayakan itu juga berbeza, walaupun watak itu hanya sekadar seorang ibu,” katanya yang tidak pernah merasa lelah untuk membawakan watak air mata.
Teks oleh: Aqmar Mustaza
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan