loading...
Loading...
"Mamat" Tak Mesra Lagi
Kuala Nerus: “Adik Mat sudah tidak jinak dan mesra seperti dulu, payah menemuinya timbul sekarang jauh sekali untuk menggosoknya dan saya yakin mesti ada dalam kalangan pengunjung yang datang melihatnya bertindak kasar ke atasnya sebelum ini,” kata Abdul Rahman Harun, 55, dari Kampung Gomok, Tepoh, di sini.
Abdul Rahman antara penduduk kampung yang bertanggungjawab menjaga dan memberi makan kepada seekor buaya tembaga digelar sebagai Mamat dan lebih dikenali dengan panggilan manja ‘Adik Mat’ di lombong tinggal di kawasan berkenaan.
Lelaki berkenaan atau lebih mesra kini dipanggil Pok Man Buaya berkata, kali terakhir melihat kelibat reptilia itu tiga hari lalu tetapi bersikap dingin dan tidak mesra terhadap layanan diberikannya seperti kebiasaan.
“Sebelumnya, saya hanya perlu menepuk air menggunakan kayu dan Adik Mat akan terus datang ke gigi air untuk dibelai sebelum diberikan makanan tetapi sekarang tidak lagi kerana pada hari tertentu saja ia muncul.
“Walaupun Adik Mat tidak mesra seperti dulu, saya tetap datang ke kawasan ini pada setiap hari untuk memberi makan kepadanya kerana sudah menganggap Adik Mat seperti haiwan peliharaan sendiri.
“Memang saya akan merinduinya jika tidak melihatnya tetapi sekarang saya perlu menerima perubahan itu kerana ia mungkin tabiat semula jadi seekor buaya yang tidak mesra dan liar,” katanya ketika ditemui, semalam.
Pok Man berkata, dia mengesyaki perubahan sifat buaya itu akibat sikap segelintir pengunjung tidak bertanggungjawab membaling batu dan bertindak kasar terhadap haiwan berkenaan.
“Saya sudah berulang kali menasihati pengunjung yang datang melihat buaya itu supaya tidak mengacau atau bertindak keras tetapi tetap ada segelintir berbuat demikian.
“Walaupun sekarang Adik Mat jarang timbul dan muncul di khalayak tetapi masih ramai penduduk kampung dan pengunjung daripada daerah lain datang untuk melihatnya selain memberi makanan kepadanya.
“Adik Mat menggemari kepala ayam dan tidak payah untuk kami memberi makan kepadanya setiap hari kerana ia tidak perlu dibeli cuma mengambil di tempat pemprosesan ayam,” katanya.
Menurutnya, sejak ditemui pada Mei lalu pelbagai pihak datang untuk meninjau malah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pernah cuba menangkap serta memindahkannya tetapi penduduk kampung merayu reptilia itu kekal di kawasan lombong tinggal berkenaan.
“Kami penduduk kampung sepakat menjaganya kerana ia tidak ganas atau mengancam keselamatan penduduk setempat malah kawasan itu memang sudah menjadi habitatnya.
“Terbaru seorang lelaki dipercayai dari Thailand bersama ahli keluarganya datang ke lombong itu untuk membeli Adik Mat tetapi kami bertegas ia bukan untuk dijual malah ia salah di sisi undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah APM Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, pihaknya tidak bercadang menangkap buaya berkenaan.
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan