loading...
Loading...
Fatin Rasai Pengalaman Terbangkan Pesawat Boeing 737-800
Artikel Penuh:kosmo
PERKATAAN Sky Simulator daripada rona biru langit yang terpampang di hadapan pintu masuk pusat latihan penerbangan itu sudah cukup untuk menimbulkan rasa teruja dalam kalangan peminat kapal terbang.
Sebaik sahaja pintu dikuak, kru Jurnal disambut mesra oleh seorang wanita tinggi lampai yang lengkap berpakaian seragam juruterbang.
Senyuman manis terukir pada wajahnya yang kemudian memperkenalkan diri sebagai Fatin Nabilah Musa, 22, jurulatih penerbangan di situ.
Terletak di aras bawah pusat beli-belah E@Curve, Petaling Jaya, Selangor, Sky Simulator merupakan pusat penerbangan dengan mesin simulator pesawat jenis Boeing 737-800.
Mula dibuka pada tahun 2013, pusat pengendali mesin simulator itu cukup mudah menarik tumpuan, khususnya buat peminat pesawat jenis Boeing yang menanam impian untuk menerbangkan sebuah pesawat jenis itu.
Saat dibawa masuk ke ruang kokpit, kru Jurnal akui berasa cukup teruja, apatah lagi melihat deretan suis pelbagai fungsi yang ditempatkan di situ.
Sky Simulator hanya menempatkan satu mesin simulator sahaja kerana menurut Fatin, kos menghasilkan satu simulator boleh mencecah hingga RM500,000.
Fatin kemudian menerangkan secara ringkas tentang suis-suis yang ada dan memilih mod penerbangan pada hari itu.
Simulator lebih sukar
“Menariknya, di sini atau mana-mana pusat mesin simulator kapal terbang, pengunjung boleh memilih untuk menerbangkan pesawat dari mana-mana lapangan terbang di seluruh dunia.
“Selain itu, pengunjung turut boleh memilih cuaca yang diingini saat menerbangkan pesawat,” ujar Fatin.
Sebuah komputer diletakkan betul-betul di hadapan pintu masuk ruang kokpit dan di situlah penetapan lapangan terbang dipilih untuk dipaparkan di cermin kokpit.
“Hari ini, kita akan menerbangkan pesawat ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor dan penerbangan akan mengambil masa selama 15 minit,” terang Fatin.
Ruang luar kokpit mula menunjukkan suasana landasan di KLIA2 dan pesawat itu mula bergerak sebelum perlahan-lahan terbang dan diletakkan dalam mod auto-pilot pada ketinggian sekitar 1,371 meter dari aras laut.
Kepulan awan mula kelihatan saat pesawat itu naik tinggi dan bagi mereka yang pertama kali melihat dari sudut pandang seorang juruterbang, rasa pening itu adalah sesuatu yang normal.
Pengalaman
Bagi memastikan kapal terbang mendarat dengan selamat, pengurus cawangan Sky Simulator, Tharanitharan turut berada di ruang kokpit dan mengikuti penerbangan tersebut.
Merupakan seorang juruterbang bertauliah yang sudah menerbangkan pelbagai jenis pesawat seperti Boeing, Airbus dan Cessna, Tharanitharan mengakui mesin simulator kadangkala lebih sukar dikawal berbanding pesawat sebenar.
“Hal ini kerana mesin simulator lebih sensitif berbanding pesawat sebenar.
“Berbeza dengan pesawat sebenar, mesin simulator akan mengesan kesalahan-kesalahan kecil dan juruterbang perlu mengawal alat kawalan dengan lebih lembut,” ujarnya.
Antara lapangan terbang yang paling sukar untuk menerbangkan sebuah pesawat ialah Lapangan Terbang Lukla yang terletak di Nepal kerana saiz landasan yang kecil dan curam. Untuk pendaratan pesawat pula, mendaratkan pesawat di Lapangan Terbang Kai Tak di Hong Kong kerana juruterbang perlu bijak mengagak ketinggian serta berhati-hati agar tidak terlanggar bangunan-bangunan tinggi di sekitarnya.
Selepas beberapa minit terbang, pesawat yang dinaiki kru Jurnal bersedia untuk melakukan pendaratan dan pengalaman itu ternyata amat berbeza jika dibandingkan dengan pengalaman duduk di kerusi penumpang.
Biarpun ruang kokpit senyap tanpa sebarang gegaran dan pergerakan, proses mendaratkan sebuah pesawat dilihat agak sukar dan juruterbang perlu bijak mengawal alat kawalan bagi mengelakkan penumpang berasa pening.
Tharanitharan kemudian menjelaskan bahawa ruang kokpit mesin simulator sememangnya lebih sukar dikawal memandangkan mesin itu menangkap lebih banyak gerakan berbanding pesawat sebenar.
“Semasa berada dalam ruang kokpit mesin simulator, pengunjung mungkin akan berasa pening dan seolah-olah pesawat sedang bergoyang dengan kuat namun ia sebenarnya tidak berlaku kerana pesawat sebenarnya mendarat dengan baik,” jelasnya.
Minat mendalam
Selesai menerbangkan pesawat, Fatin kemudian tidak lokek berkongsi kisah tentang minatnya untuk bergelar salah seorang juruterbang bertauliah negara.
“Semasa di bangku sekolah, minat untuk bergelar seorang juruterbang datang selepas saya menonton filem Amelia yang menceritakan tentang kehidupan seorang juruterbang wanita.
“Bagaimanapun, ibu mahu saya menjadi seorang doktor gigi, lalu saya diterima masuk di sebuah kolej perubatan di ibu kota.
“Saya kemudian sengaja menggagalkan diri saya semasa sedang menuntut di situ supaya saya boleh mengejar impian untuk bergelar juruterbang wanita,” ujarnya.
Bertitik tolak daripada itu, Fatin kemudiannya mendaftar masuk di HM Aviation School di Langkawi dan menamatkan pengajiannya pada November tahun lalu.
Sijil serta ilmu yang diterima melayakkan Fatin untuk bergelar seorang jurulatih.
“Selepas diterima bekerja sebagai jurulatih di Sky Simulator, saya akui, ia banyak mengajar dan memberikan pengalaman kepada saya sendiri seolah-olah menerbangkan pesawat sebenar.
Akui Fatin, bukan mudah untuk bergelar seorang juruterbang kerana tidak seperti pekerjaan lain, seorang juruterbang perlu menduduki pelbagai ujian dan peperiksaan kelayakan.
Artikel Penuh:kosmo
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan