Isnin, 7 Ogos 2017

Nasib Terakhir Bintang Filem Myanmar

terimakasih sudi like
loading...
Loading...
Nasib Terakhir Bintang Filem Myanmar

DALAM keadaan lumpuh sebelah badan dan kesukaran bertutur akibat serangan strok, Tin Hlaing telah ditinggalkan oleh anak-anaknya di sebatang jalan raya di Yangon, Myanmar.
Wanita berusia 75 tahun itu ditemui oleh orang ramai sebelum dibawa ke Twilight Villa, rumah perlindungan bagi warga emas di bandar raya berkenaan.
Kisah Hlaing kerap kedengaran di Myanmar yang kini dibelenggu kemiskinan selain peningkatan golongan berusia sekali gus memberi tekanan terhadap sistem kesihatan negara itu.
Naib Pengerusi Twilight Villa, Khin Ma Ma berkata, kebanyakan penghuni di situ juga trauma dan sakit selepas dibuang oleh keluarga masing-masing.
“Kesihatannya tidak begitu memuaskan, dia juga dalam keadaan keliru, dehidrasi selain kemarahan yang meluap-luap. Sukar untuk berkomunikasi dengannya ketika ini,” katanya kepada AFP.
Ditubuhkan pada 2010, vila itu menempatkan seramai 120 penghuni berusia lebih 70 tahun dan seramai 100 orang lagi kini dalam senarai menunggu.
Bahagian dalam vila juga padat dengan katil yang menempatkan warga emas terbabit dengan pelbagai ragam dan gelagat sambil menghabiskan sisa-sisa usia mereka.
Tambah Ma Ma, dia masih ingat bagaimana salah seorang penghuni di situ dibuang ahli keluarganya berhampiran tempat pembuangan sampah.
Wanita warga emas itu ditemui oleh orang ramai dengan keadaan badannya dipenuhi gigitan tikus. Dia sempat menginap di vila itu selama beberapa bulan sebelum meninggal dunia.
“Adakalanya kami menjumpai nota kecil di dalam poket yang mengandungi nama dan umur mereka, itu sahaja. Masyarakat yang bertamadun tidak wajar melayan golongan ini sedemikian rupa dan pelakunya wajar dihukum,” ujarnya.
Termiskin
Beberapa dekad di bawah pemerintahan junta, sekatan ekonomi dan konflik etnik menjadikan Myanmar antara negara termiskin di dunia.
Kini, ia berdepan krisis demografi sekali gus memberi tekanan kepada negara yang pernah menjadi antara kuasa ekonomi di rantau ini satu ketika dahulu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sembilan peratus daripada populasinya berusia lebih 65 tahun dan mencecah satu perempat pada tahun 2050 sekali gus melebihi mereka yang berusia 15 tahun ke atas.
“Realiti ekonomi menyebabkan rakyat berterusan bekerja biarpun sudah mencecah usia emas untuk kesinambungan hidup. Justeru, polisi perkhidmatan sosial perlu diwujudkan untuk membantu golongan ini,” kata wakil Dana Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) ke Myanmar, Janet Jackson.
Sejak mengambil alih pemerintahan negara itu daripada junta, kerajaan baharu telah merangka kemudahan penjagaan khusus untuk penduduk berusia 90-an menerusi dana sebanyak AS$7 (RM30) sebulan.
‘Secara tradisinya, kebanyakan warga emas dijaga oleh ahli keluarga namun tekanan kemiskinan, inflasi yang mencecah dua angka serta proses urbanisasi pantas menyebabkan lebih ramai golongan itu kini terpinggir.
“Kami tidak tahu hendak ke mana. Kami datang ke sini untuk menghabiskan sisa-sisa hidup,” kata Hla Hla Shwe yang menetap di salah sebuah rumah perlindungan di Yangoon tiga tahun lalu.
“Di sini, kami tidak berasa sunyi selain diberi makan. Kami ucapkan terima kasih kepada mereka yang menyumbang,” tambah lelaki berusia 85 tahun itu.
Sementara itu, di bahagian timur Myanmar, satu kumpulan seniman sepakat mengumpulkan dana untuk menghabiskan usia senja mereka bersama.
Bintang filem
Diasaskan oleh bekas ratu cantik, Nwet Nwet San yang menyumbang tanahnya, Mother Villa kini menjadi rumah persaraan kepada lebih 20 bekas bintang filem di negara itu.
“Tahun-tahun yang mendatang sangat mencabar biarpun bagi bekas bintang filem seperti kami. Saya melihat ramai rakan sealiran meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan sebelum nekad menubuhkan vila ini,” kata wanita berusia 77 tahun itu.
Di dalamnya, terdapat almari yang menyimpan pelbagai anugerah dan filem-filem lama serta foto-foto wanita berpakaian glamor tergantung di dinding.
Hari ini, mereka masih mengenakan pakaian dan solekan sama sekadar untuk suka-suka dan turut menubuhkan satu kumpulan tarian yang mengadakan persembahan setiap tahun sempena sambutan festival air.
“Saya tidak mempunyai sesiapa namun saya gembira kerana ditemani rakan-rakan di sini. Ia membolehkan saya mengenang kisah-kisah silam,” kata Moe Thida Moe, 73. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.
loading...

SHARE THIS
Loading...

Author:

seorang ibu dan blogger bebas ,memaparkan kisah-kisah menarik dari seluruh dunia

Loading...

0 ulasan: