Selasa, 10 April 2018

Kazakhstan Bangga Adanya Astana

terimakasih sudi like
loading...
Loading...
Kazakhstan Bangga Adanya Astana

SUHU di bawah -40 darjah Celsius pada musim sejuk setiap tahun membataskan pergerakan penduduk.


DINA, seekor kucing sphynx kelihatan terketar-ketar menahan kesejukan melampau yang melanda Astana, ibu kota Kazakhstan.

Haiwan yang tinggal di sebuah kafe kucing bernama Miki Piki itu lantas menghampiri radiator milik kafe tersebut untuk mendapatkan hawa panas.

Menurut pemilik kafe itu, Aigul Kurmanaliyeva, kucing sphynx tersebut adalah antara spesies yang paling mudah jatuh sakit pada musim sejuk.
“Baka sphynx memerlukan perhatian yang lebih kerana mereka tidak berbulu lebat seperti kucing baka lain.

“Atas sebab itu, saya pakaikan mereka baju sama seperti yang diperlukan oleh penduduk di Astana setiap kali musim sejuk melanda,” katanya yang membuka kafe tersebut pada Disember tahun lalu.
Ironinya, penduduk di Astana cukup memahami kesengsaraan Dina dan haiwan lain yang hidup di Astana, ibu kota kedua paling sejuk di dunia selepas Ulan Bator di Mongolia.
Apabila tiba musim sejuk, suhu di bandar dengan populasi lebih daripada sejuta orang itu akan mencecah sehingga -40 darjah Celsius.

Malah, ia direkodkan sebagai musim sejuk dengan suhu paling rendah bagi seluruh rantau Asia Tengah sepanjang satu dekad.
Astana terletak di pinggiran Sungai Ishim, di utara Kazakhstan. Ia menggantikan Almaty sebagai ibu kota negara tersebut sejak tahun 1997.
Meskipun lebih 20 tahun diiktiraf sebagai ibu kota, kebanyakan penduduk Kazakhstan masih membandingkan Astana dengan Almaty.
Bagi mereka, Almaty yang terletak kira-kira 1,000 kilometer ke selatan Kazakhstan adalah bandar yang lebih sesuai diduduki dan selesa untuk semua.

Kritikan


Di sebalik seni bina mewah dengan rekaan futuristik Astana, ramai penduduk melahirkan rasa tidak gembira terhadap perubahan itu.
Salah seorang ialah Adil Nurmakov. Dia yang terpaksa berpindah dari Almaty ke Astana kerana tuntutan kerja menyifatkan kehidupan di bandar tersebut sebagai satu ‘kejutan’ kepada pelancong dan penduduk Kazakhstan sendiri.
“Bandar ini menyebabkan rakyat hidup terasing. Tidak banyak yang kami dapat lakukan bersama ahli keluarga kerana hanya terdapat beberapa tempat awam disediakan untuk riadah.
“Setiap hari, kami hanya menghabiskan masa di rumah dan tempat kerja. Tidak hanya itu, kehidupan kami juga terbatas ekoran musim sejuk hampir sepanjang tahun,” rungut Nurmakov.
Kritikan mengenai relevansi Astana sebagai ibu kota bermula sejak kerajaan Kazakhstan mengemukakan cadangan perpindahan itu.
Alasan kerajaan Kazakhstan ialah Almaty terletak di kawasan gempa bumi aktif.
Namun, pemerhati politik berpendapat, tindakan itu adalah bagi mengukuhkan kawalan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev ke seluruh negara kesembilan terbesar di dunia itu.
Kota Almaty mempunyai sejarah politik dan pengaruh budaya Rusia yang kuat. Ia didirikan sebagai kubu pertahanan Rusia sewaktu menjajah Kazakhstan pada tahun 1854.
Lantaran itu, setelah mencapai kemerdekaan pada tahun 1991, Nazarbayev mencadangkan Astana yang terletak jauh di utara Kazakhstan sebagai ibu kota baharu.
Sempena pertukaran itu, tarikh 6 Julai pada setiap tahun diangkat sebagai hari cuti umum bagi Kazakhstan. Tarikh itu dipilih sempena hari ulang tahun kelahiran Nazarbayev sendiri.
Pernah dilabel sebagai projek pelik dan terburu-buru oleh masyarakat dunia, kerajaan Kazakhstan tidak pernah meragui keputusan yang dibuat.

Berkembang

“Rakyat sangat berbangga dengan perubahan luar biasa di bawah pimpinan Nazarbayev,” ujar Duta Besar Kazakhstan di Britain, Erlan Idrissov ketika menyelar sebuah akhbar Britain yang mengkritik bandar tersebut sebagai tidak praktikal untuk diduduki.
Menjelang tahun 2018, Astana dilihat mula menunjukkan perubahan ke arah bandar mengikut keperluan dan kehendak penduduk.
Baru-baru ini, sebuah bar telah dibuka bagi menceriakan suasana malam di bandar Astana.
Begitu juga dengan kewujudan kafe Miki Piki adalah yang pertama seumpamanya dibina di Astana.
“Kafe dan bar adalah sesuatu yang baharu kepada penduduk Astana.
“Namun, ia semakin berkembang dan bakal menjadi bandar seperti ibu kota di negara lain tidak lama lagi,” kata Kurmanaliyeva. – AFP
loading...

SHARE THIS
Loading...

Author:

seorang ibu dan blogger bebas ,memaparkan kisah-kisah menarik dari seluruh dunia

Loading...

0 ulasan: