loading...
Loading...
Keindahan Pulau Jeju Jadi Kegilaan Orang Malaysia
Fenomena itu bermula sejak beberapa tahun lalu dengan pengaruh besar drama Korea Selatan, Winter Sonata yang mengisahkan pengorbanan dan cinta sejati lakonan hebat Kang Joon-sang (Bae Yong Joon) serta Jung Yu-jin (Choi Ji Woo).
Bukan setakat menonton, mereka turut menjiwai dan menangis meratapi nasib watak dalam drama itu. Paling teruk apabila ada dalam kalangan suri rumah meninggalkan kerja harian mereka untuk menonton drama tersebut.
Namun, di sebalik drama itu, terdapat satu mesej yang cuba ditonjolkan kepada penonton di seluruh negara.
Dalam erti kata lain, ia berjaya mempromosikan tempat-tempat menarik yang ditayangkan dalam filem itu.
Sebenarnya, saya juga meminati drama-drama itu kerana ada antaranya mempunyai contoh teladan yang baik dan boleh dijadikan pengajaran.
Dalam usaha menghayati intipati dan jalan cerita yang ditayangkan, ia memberi peluang kepada saya untuk mengintai keindahan dan keunikan tempat tersebut.
Daripada situlah timbulnya impian untuk menjejakkan kaki ke bumi Korea Selatan.
Longgokan drama dan lagu K-pop dalam media massa mendorong ramai orang untuk berkunjung ke Korea Selatan.
Selain beberapa bandar utama seperti Seoul yang menjadi tarikan pelancong, saya berpeluang menjelajah Pulau Jeju baru-baru ini.
Tujuan utama saya menjejak kaki ke pulau itu adalah untuk menikmati keindahan alam sekitar, budaya dan sejarah tempatan.
Nasihat
Demi memudahkan urusan, saya mengikuti nasihat badan pelancongan Korea Selatan supaya mendapatkan bantuan daripada salah satu syarikat pemandu pelancong tersohor di Pulau Jeju iaitu Yeha Tour.
Ini kerana mereka lebih arif dalam memperkenalkan tempat-tempat wisata yang menarik. Selain menyediakan perkhidmatan bas-bas persiaran yang besar, mereka turut menawarkan perkhidmatan penjelajahan peribadi (private tour) di sekitar Pulau Jeju.
Saya memulakan kembara di sebuah taman tema terbaharu yang dikenali sebagai Jeju Shinhwa World. Ia merupakan sebuah kawasan hartanah terkini yang mempunyai segala-galanya.
Selain penginapan bertaraf antarabangsa seperti Landing Resort, ia juga mempunyai aneka tempat makan dan taman tema sendiri.
Malah, Jeju Shinhwa World merupakan taman tema pertama yang mengangkat pelbagai watak daripada siri animasi Larva.
Selain itu, beberapa permainan interaktif dan 3D turut ditawarkan kepada para pengunjung untuk merasai pengembaraan yang dilalui watak-watak animasi tersebut.
Paling menarik, terdapat juga kafe bertema milik artis tersohor K-pop, G Dragon. Jadi, jika anda peminat G-Dragon, pastikan anda menjejakkan kaki ke sana.
Perhentian kami seterusnya adalah Muzium Teh Osulloc. Seperti yang diketahui umum, warga Korea Selatan memang terkenal dengan teh hijau mereka yang kaya dengan pelbagai khasiat dan manfaat.
Di muzium teh itu, anda juga berkesempatan ke kedai Innisfree yang menjual produk-produk kecantikan berasaskan bahan-bahan organik serta tumbuh-tumbuhan di sekitar Pulau Jeju pada harga yang sangat berpatutan.
Sunrise Peak
Perjalanan diteruskan ke Seongsan Ilchulbong atau Sunrise Peak. Ia merupakan sebuah kawasan pergunungan yang terkenal dengan pemandangan yang sangat menakjubkan.
Ia mempunyai latar belakang samudera biru dan pengunjung yang datang boleh menyaksikan pemandangan kota Jeju dari atas bukit yang dikenali sebagai Puncak Matahari Terbit itu.
Saya sedikit terkejut apabila melihat di tepi pantai di kawasan kaki bukit itu kerana terdapat pertunjukan khas penyelam wanita berusia.
Mereka meneruskan tradisi mencari hasil lautan dengan menyelam ke dalam laut meskipun sudah berusia lebih daripada 50 tahun.
Pada hari berikutnya, saya ke Play K Pop iaitu sebuah muzium khas yang didedikasikan kepada dunia K-pop.
PENGUNJUNG boleh menyaksikan konsert K-pop oleh artis-artis ternama mereka dalam bentuk hologram di Play K Pop.
Ia adalah singgahan wajib buat para pencinta budaya dan produk K-pop kerana segala sejarah tentang muzik tersebut ada di lokasi itu.
Untuk pengetahuan anda, ia satu-satunya muzium K-pop di dunia. Perkara yang unik ialah pengunjung boleh menyaksikan konsert K-pop oleh artis-artis ternama mereka dalam bentuk hologram dan berasa seolah-olah berada dalam sebuah konsert yang benar.
Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan seperti ruang khas untuk menari dan menyanyi lagu-lagu K-pop selain tempat untuk mengambil gambar bersama ikon-ikon K-pop.
Destinasi seterusnya ialah Gunung Halla. Sekiranya anda datang pada musim sejuk, jangan lepaskan peluang untuk mencuba meluncur di atas gunung tersebut.
Meluncur salji
Di lokasi itu, papan luncur kecil boleh disewa pada harga yang murah dan anda hanya perlu duduk serta biarkan papan itu meluncur ke bawah di atas tanah yang dipenuhi salji.
Ramai penduduk tempatan suka ke lokasi itu pada musim sejuk untuk menghabiskan masa bersama keluarga.
Selain itu, ia juga tempat yang sesuai untuk mengambil gambar kerana jatuhan salji semula jadi menjadikan ia satu panorama yang indah untuk diabadikan.
Pada hari sama, saya juga tidak melepaskan peluang melawat untuk tempat-tempat unik yang dikatakan buatan manusia sendiri. Tidak lain tidak bukan ia ialah Maza Land dan Love Land.
Maze Land merupakan sebuah taman yang cantik dengan landskap dan dipenuhi dengan ‘maze’ atau pagar sesat yang besar. Ia memberi peluang kepada pengunjung untuk cuba mencari jalan keluar daripada pagar sesat yang ada.
Love Land pula merupakan sebuah taman tema luaran yang didedikasikan untuk penghayatan cinta. Ia memaparkan arca serta ukiran patung-patung yang dicipta mengikut posisi-posisi keintiman fizikal manusia.
Biarpun ia sesuai untuk golongan dewasa dan kanak-kanak di bawah usia tiga tahun, ia juga satu tinjauan lucu ke dalam dunia pendidikan seks serta keintiman.
Kalau soal menjamu selera pula, Pulau Jeju sangat kaya dengan makanan laut yang lazat. Jadi, ia tidak menjadi masalah buat para pengunjung beragama Islam.
Malah, sekarang terdapat banyak pakej percutian khas yang disediakan untuk pengunjung Muslim yang pentingkan makanan halal serta waktu solat. Untuk keterangan lanjut boleh juga merujuk kepada badan pelancongan Korea Selatan dan Pulau Jeju.
Secara keseluruhannya, pulau yang kaya dengan keunikan dan keindahan alam semula itu sangat mengasyikkan. Sudah pasti saya tidak akan lepas peluang jika dapat kembali ke pulau itu.
Paling penting, kos penginapan dan makanan halal tidak menjadi masalah jika anda bijak mengaturkan perjalanan. Lebih jimat jika datang secara kumpulan.
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan