Isnin, 12 Mac 2018

Nostalgia Aiskrim Penjaja

terimakasih sudi like
loading...
Loading...
Nostalgia Aiskrim Penjaja
Sinar mentari menyirami kosmopolitan Kuala Lumpur yang nampaknya terus dahagakan urbanisasi.
Dalam hiruk-pikuk ibu kota tengah hari itu, seorang lelaki berusia lebih separa abad kelihatan berdiri ditabiri payung pada motosikalnya di depan sebuah sekolah dekat Jalan Semarak.
Penulis menyeka peluh yang mula memercik di dahi tetapi lelaki penjual aiskrim berusia 58 tahun itu setia berdiri di sisi motosikalnya bagai tiada apa yang meresahkan.
“Cuaca panas ini saya sudah lali. Bukan saya buat kerja ini setahun dua. Saya menjual aiskrim daripada harganya paling murah 5 sen sehingga sekarang RM1 sebatang.
“Saya jual aiskrim sudah lama, sejak zaman bapa mereka masih kanak-kanak,” katanya sambil menunjuk kepada beberapa murid sekolah yang mula memenuhi peti aiskrim pada motosikalnya.
Nama sebenarnya Ambiahit Kusaini. Namun katanya, nama itu bagai tidak lagi wujud dalam hidupnya sementelahan semua orang memanggilnya Wak Aiskrim.

Nostalgia


Menjadi penjaja aiskrim bermotosikal sejak tahun 1984 di Kuala Lumpur, datuk kepada lapan cucu yang menetap di Taman Keramat Permai itu masih mengerah kudrat melaksanakan kerja itu.
Asalnya, Ambiahit seorang pekerja subkontraktor kecil-kecilan, namun kemelesetan ekonomi pada tahun tersebut menyebabkan sektor pembinaan merudum. Lantas, dia memutuskan untuk menunggang motosikal bagi menjual aiskrim sebagai satu-satunya punca rezeki.
Sememangnya kelibat penjaja aiskrim bermotosikal meninggalkan nostalgia bagi setiap yang pernah bergelar kanak-kanak. Tidak keterlaluan jika dikatakan bunyi loceng penjaja aiskrim bermotosikal di jalanan adalah bunyi yang paling mengujakan ketika bermain di halaman rumah.
Kewujudannya mungkin kini dipandang sepi masyarakat kota, namun satu ketika dulu ia bagai suatu yang amat dinantikan orang ramai.
“Sekarang aiskrim boleh diakses dengan mudah di mana-mana. Pada era 1980-an, penduduk Taman Permata atau Taman Melawati mungkin tidak akan jumpa aiskrim kalau tidak kerana penjual seperti saya. Dulu, kalau hendak makan aiskrim mereka perlu pergi ke Batu Road atau Hankyu Jaya di pusat bandar,” katanya yang mempunyai pendapatan RM11.40 sehari pada hari pertama menjual aiskrim.


Namun, kata Ambiahit, sejak dulu lagi, kerjaya itu tidak diminati kaum Melayu berbanding kaum lain dan pendatang asing.
“Orang kita malu untuk menjadi penjual aiskrim. Sudahnya, kerjaya ini lebih banyak dilakukan pendatang asing seperti warga Indonesia, India dan Pakistan,” katanya.
Ambiahit berkata, semasa muda, dia menjaja aiskrim di taman-taman perumahan, sekolah dan tumpuan pelancong di sekitar Kuala Lumpur sehingga ke Subang Jaya, Selangor.

Kesusahan


Namun, sejak usianya kian meningkat dan kudrat terbatas, dia kini berulang-alik ke tiga buah sekolah sahaja untuk menjual aiskrim pada setiap hari.
“Alhamdulillah, Tuhan panjangkan usia. Setiap kali bila hendak tidur malam, saya sentiasa terkenang kesusahan yang telah diharungi. Bayangkan, dulu, untuk meraih pendapatan RM1, saya perlu menjual sehingga 20 orang, tapi sekarang RM1 hanya dengan seorang pembeli.

“Kenangan-kenangan inilah yang memberi kekuatan dan menyebabkan saya meneruskan kerja ini,” katanya.

Penjual aiskrim bermotosikal, Mohd. Fairuz Mohd. Mohyi, 34, pula sudah melakukan pekerjaan itu sejak tahun 2009. Dia yang sewaktu itu seorang pekerja khidmat pelanggan sebuah syarikat swasta melakukannya atas desakan hidup apabila wang sakunya kurang RM100 setelah banyak dibelanjakan untuk urusan pertunangan.
“Malu betul saya rasa pada waktu itu. Orang cakap, muda-muda sudah jual aiskrim dan kawan-kawan pula cakap, apa nak jadi? Namun, saya hanya balas dengan senyuman.
“Kini perasaan malu bertukar bangga. Saya menjadikannya pekerjaan sepenuh masa pada tahun 2013 setelah berjaya memperoleh pendapatan RM3,000 sebulan iaitu lebih banyak daripada gaji pekerjaan asal saya,” katanya yang menumpukan penjualan aiskrim di lokasi-lokasi pelancongan di sekitar Taman Tasik Perdana.
Katanya, untuk menjadi penjaja aiskrim, apa yang diperlukan hanya memiliki motosikal Honda EX5 dengan modal membeli ais kering RM15 sehari bagi memastikan aiskrim tidak cair.
“Mereka yang berminat hanya perlu pergi kepada mana-mana pembekal aiskrim, ambil aiskrim berapa banyak yang dikehendaki, selepas itu dibekalkan tong aiskrim dengan yuran RM300. Kami hanya akan bayar kepada pembekal untuk aiskrim yang dah terjual sementara baki aiskrim kami jual keesokannya,” katanya.
Menurutnya, cuaca panas terik dan hujan memang menguji ketahanan, namun bagi penjual, cuaca panas suatu kelebihan kerana orang cenderung membeli aiskrim.
“Kami biasa menyebutnya sebagai ‘panas rahmat’,” katanya.

Persaingan


Mohd. Fairuz berkata, persaingan jualan aiskrim kini semakin banyak dengan bertambahnya pelbagai jenis premis menjual aiskrim di pasaran. Ada juga aiskrim berjenama terkemuka untuk yang bercita rasa mewah.
“Namun, saya rasa permintaan terhadap aiskrim penjaja tidak banyak berubah kerana aiskrim seperti ini sentiasa menjadi kegemaran kanak-kanak. Mereka tidak memandang jenama.
“Uniknya penjaja aiskrim ialah kami tidak menunggu pelanggan sebaliknya mencari pelanggan. Kami membawa aiskrim ke depan mata dan biasanya apabila aiskrim sudah ada depan mata kanak-kanak, ibu bapa memang akan belikan,” katanya.
Mohd. Fairuz memberitahu, terdapat kira-kira 200 penjaja aiskrim bermotosikal di Kuala Lumpur, namun dianggarkan tidak sampai 10 orang Melayu.
“Warga pendatang semakin mendominasi kerana mereka lebih konsisten untuk menjual sedangkan banyak penjaja tempatan yang patah semangat untuk meneruskannya,” katanya.
Mohd. Fairuz sentiasa mahu maju ke depan. Siapa sangka, selain menjadi penjaja aiskrim, dia sendiri kini merupakan pembekal aiskrim dan pengusaha perniagaan katering aiskrim, Aiskrim Basikal Merah.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, kewujudan penjaja aiskrim bermotosikal harus dipelihara kerana ia sudah menjadi salah satu trademark Malaysia.
Seorang penjaja aiskrim durian D24, Ridzuan Mohammad, 34, berkata, banyak punca menyebabkan ramai orang patah semangat untuk menjadi penjaja aiskrim.
“Selain malu dan persepsi masyarakat yang melihat ia kerja yang memalukan, pekerjaan ini juga dianggap tidak glamor, berpendapatan tidak menentu dan memenatkan.
“Ini kerana tong aiskrim juga berat. Sesetengah orang mungkin tidak selesa untuk menunggang motosikal dengan bebanan seberat 50 kilogram jika tong aiskrim diisi penuh,” katanya.
Penjaja aiskrim bermotosikal sering dikaitkan dengan nostalgia zaman kanak-kanak. Sejauh manakah kerjaya itu mampu bertahan pada zaman ini terutamanya di Kuala Lumpur yang semakin moden.

loading...

SHARE THIS
Loading...

Author:

seorang ibu dan blogger bebas ,memaparkan kisah-kisah menarik dari seluruh dunia

Loading...

0 ulasan: