loading...
Loading...
Uniknya Makanan Tradisional Korea
UNIKNYA Korea Selatan biarpun telah berkembang pesat, namun masyarakatnya tidak pernah meninggalkan budaya yang diwarisi sejak zaman berzaman. Malah unsur-unsur tradisional, adat, budaya dan kesenian negara itu sering diselitkan ke dalam drama juga filem Korea.
Secara tidak langsung menunjukkan masyarakat Korea begitu mengangkat tinggi budaya dan kesenian yang dirasakan sangat indah dan menarik.
Menghayati budaya Korea tidak akan lengkap tanpa menikmati secara langsung keunikan makanannya. Sebahagian makanan Korea adalah berasaskan beras, mi, tahu, sayuran dan daging.
Kesempatan berkunjung ke Korea menyertai FAM trip , jelajah kami meliputi ke Korea Traditional Food Culture . Ia memberi pengalaman yang mengujakan tentang penyediaan makanan tradisional masyarakat Korea.
Pusat kebudayaan makanan tradisional Korea ini sengaja didirikan untuk memberi pengetahuan kepada pengujung tentang kebudayaan Korea. Istimewanya pusat ini pun dibuat menyerupai hanok yakni rumah tradisional Korea.
Jeonggangwon terletak di wilayah Gangwon (Gangwon-do). Jeonggangwon Traditional Food Experience’ (Pyeongchang) ditubuhkan bagi memelihara, menyelidik, mengedar dan mempromosikan makanan tradisional dan budaya Korea. Antara kemudahan yang disediakan di sini ialah bilik pameran, bilik masakan dan tempat penapaian makanan.
Persekitaran nyaman dan selesa
Memasuki ke kawasan di sekitar pusat kebudayaan ini suasananya begitu damai dengan kehijauan pokok dan udaranya mengundang kesegaran. Kelihatan bangunan tradisional korea sambil kami dibawa tour mengelilingi kawasan pusat kebudayaan tersebut dan diberikan penjelasan pelbagai jenis makanan Korea termasuk Kimchi.
Menariknya ketika tour itu , terpandang oleh penulis akan kawasan yang terbuka luas dan di situ dipenuhi tempayan tanah liat. Kesemua itu merupakan kimchi yang sedang dalam proses penapaian.
Zaman dahulu kimchi disimpan dalam tempayan tanah liat di luar bangunan dan proses penapaian itu akan melepasi pelbagai musim. Kimchi sendiri sebenarnya digunakan sebagai sayuran sihat selama musim dingin, mengenangkan pada musim dingin tidak ada sayuran yang boleh hidup.
Rice cake
Setelah acara pengenalan tentang makanan tradisonal Korea, kami diberi peluang mempelajari membuat salah satu makanan tradisional Korea. Masing-masing rasa teruja untuk mencuba sesuatu yang belum pernah kami cuba iaitu membuat rice cake.
Rice cake diperbuat daripada bahan asas iaitu tepung beras yang ditumbuk kemudian diolah dengan teknik khusus hingga menjadi adunan padu dan boleh dibentuk. Secara umum, rice cake memiliki tekstur yang kenyal dan elastik.
Secara tradisional rice cake tumbuk ialah variasi rice cake yang paling lama. Selepas kami diberikan apron, beras yang sudah dikukus kemudiannya ditumbuk hingga menjadi padu menggunakan alat khas. Kami diberi peluang untuk menumbuk beras tersebut sambil diajar akan teknik yang betul untuk menumbuknya.
Setelah adunan padu dan mencapai standard yang dikehendaki, kami dibahagi kepada kepada beberapa kumpulan untuk membentuk rice cake mengikut cita rasa tersendiri.
Setelah menjadi adunan, rice cake yang berwarna putih bersih kemudian dibentuk dan selaputi dengan serbuk kacang merah. Setelah siap kami makan terus hasil air tangan masing masing.
Seperti mana negara lain di dunia, Korea Selatan juga memiliki beberapa makanan unik.. Kebanyakan orang Asia menyukai masakan korea yang rata-rata juga menggunakan rencah yang menambat rasa.
Bibimbap
Bibimbap dalam bahasa Korea bererti ‘nasi campur’. Bibimbap merupakan gabungan dari nasi dan lauk-pauk yang disajikan dalam mangkuk panas. Bibimbap disajikan dengan lauk disusun sedemikian rupa agar warnanya tampil kontras dan menarik.
Terdapat beberapa teori yang mengatakan mengenai asal usul Bibimbap di Korea. Salah satu teori yang popular mengatakan bahawa makanan satu ini sebenarnya sudah ada sejak zaman dahulu, di mana makanan tersebut digunakan sebagai sajian persembahan roh atau arwah.
Sehabis melaksanakan ritual, masyarakat mengolah makanan satu ini dengan cara mencampurnya dalam sebuah mangkuk.
Seiring dengan perkembangannya, Bibimbap kini terdapat pelbagai variasi. Kota Jeonju di Jeolla Utara merupakan kota asal variasi Bibimbap yang cukup terkenal sekali, variasi makanan tersebut dinamakan “Jeonju Bibimbap”.
Di Korea, anda akan mencuba Bibimbap yang diletakkan di atas sebuah mangkuk batu panas. Haba panasnya mangkuk tersebut mampu membuat telur menjadi masak dengan cepat. Sebelum meletakkan nasi ke dalamnya, mangkuk batu tersebut biasanya dioles terlebih dahulu dengan minyak wijen agar terbentuk kerak yang lazat.
Demonstrasi membuat Bibimbap
Sekali lagi kami melihat demo membuat bibimbap. Penyediaaan bahan-bahan juga pelbagai seperti sayur-sayuran dan sebagainya. Sekali lihat seumpama penyediaan membuat nasi ulam yang banyak menggunakan ulaman.
Sebuah mangkuk bersaiz besar digunakan bagi menyediakan bibimbap buat kami. Sesungguhnya menyediakan bibimbap ini sangat teliti dan berseni. Sayuran ditata lapisan demi lapisan mengikut tekstur dan warna. Ia membentuk kontras yang menarik dalam mangkuk itu.
Tidak lupa telur mata diletakkan di bahagian paling atas. Terakhir ada Gochujang, sos cili Korea yang menjadi pelengkap segala makanan Korea. Gaul hingga semua bahan bercampur menjadi satu.
Jika sudah tercampur warnanya akan berubah menjadi merah seperti nasi goreng. Anda boleh makan dari satu mangkuk tersebut beramai-ramai. Namun kami makan di mangkuk kecil yang disediakan di meja.
Perut pun ketika itu sudah berkeroncong, menghirup aroma Bibimbap lantas terdiam kami semua menjamah hidangan enak itu. Jangan ditanya sensasi rasanya. Sungguh leka kami menikmatinya. Semakin terasa istimewa dengan adanya sambal khusus yang semakin membuat acara makan bibimbap menjadi lebih enak.
Tekstur, rasa dan aroma dari semua makanan yang dinikmati ketika di Korea Selatan nyata berbeza. Rencah yang digunakan membuatkan setiap sajian menerbitkan rasa istimewa.
Sesungguhnya tour kami pada hari itu memberikan kepuasan yang berpanjangan dan tersenyum riang pulang ke penginapan dalam keadaan perut kekenyangan.
Bukan setakat itu, kami turut dibekalkan dengan rice cake buatan tangan masing-masing sebagai bekalan andai lapar dalam perjalanan atau semasa di penginapanan nanti.
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan