Ahad, 11 Mac 2018

Lombok di sebalik seribu cerita

terimakasih sudi like
loading...
Loading...
Lombok di sebalik seribu cerita
SEMUANYA secara kebetulan. last minute planning. Penat bekerja membuatkan kami merancang untuk bercuti melepaskan lelah dan tekanan.


Puas memikirkan ke mana harus pergi. Tidak lama, tidak jauh tetapi best dan dapat meninggalkan momen terindah.

Lalu tiba-tiba nama Lombok keluar dari mulut kami. Ya. Kami sepakat untuk pergi destinasi yang awalnya amat terkenal di bibir rakyat Malaysia kisah anak-anak gadis yang lari ikut teman lelaki ke Lombok.

Kami ketawa. Ah, biarlah apa pun pandangan dan anggapan segelintir masyarakat, tetapi sudah banyak kami lihat dan dengar kisah percutian di Lombok yang amat indah.

 Kami tidak sabar ingin sendiri menikmati indahnya daerahnya yang memiliki pantai-pantai yang indah. Gunung-ganang dan sawah padi yang menghijau.





Lalu semuanya kami rancang begitu pantas. Booking tiket kapalterbang, booking hotel penginapan dan kami terbang, sehari selepas merancang semuanya ini. Bertolak hari Jumaat dan kami pulang hari Selasa minggu hadapannya. 5 hari 4 malam kami amat berharap yang menanti di Lombok nanti segala yang indah.

Menaiki flight awal pagi dan mendarat selepas empat jam di udara. Waktu sampai sudah tengah hari.

Transport dari hotel sudah sedia menanti. Kami dibawa ke Senggigi. Perjalanan yang terasa jauh kerana melayan perut yang menjerit-jerit kelaparan. Hampir setengah jam perjalanan, kami berhenti di sebuah rumah makan. Ikan Bakar hidangan paling popular di sini dan itu juga menjadi santapan pertama kami di bumi Lombok.




Sambil menanti ikan segar yang kami pilih siap dibakar, saya berjalan ke bahagian dalam restoran. Lalu melangkah hingga ke belakang. Ada pantai rupanya. Dan seketika mata terpulau kala melihat hamparan pantai putih bersih dan lautan membiru segar dipancar sinar mentari. Ya Allah, indahnya bumi ciptaanMu.

Seketika kami terlupa perut yang menjerit minta diisi. Kami mula leka berjalan ke tepi pantai. Memijak pasir yang halus dan merakam gambar-gambar yang indah. Langit dan laut bagai bercantum dalam warna biru.

Sehingga pekerja restoran memanggil kami untuk menikmati hidangan yang sudah tersedia. Katanya takut ikannya sejuk nanti tidak sedap. Ya kami ketawa kerana ternyata karakter Lombok membuatkan kami terlupa tujuan utama berhenti adalah untuk makan.

Selesai makan, kami terus ke hotel. Sekali lagi ketika membuka beranda hotel, kami terdiam. Oh tuhan.. hamparan pantai dan laut membiru terus membuat segala rasa penat perjalanan. Mata yang tadinya mahu tidur, terus segar bugar. Tidak sabar untuk memijak pasir yang putih. Selepas berehat, hari itu kami habiskan masa di kawasan hotel sahaja. Asyik melayan ombak dan menanti sunset.

Lombok pulau seribu masjid

Pulau Lombok terletak di Nusa Tenggara Barat Indonesia atau berhampiran dengan Pulau Bali. Berbeza dengan Pulau Bali yang sarat dengan imej Hindu, Pulau Lombok pula majoriti penduduknya beragama Islam. Jadi tiada masalah untuk mendapatkan makanan Halal di sini.




Dikenali sebagai Pulau Seribu Masjid. Ini kerana terdapat banyak masjid di pulau ini. Kita boleh melihat begitu banyak masjid di sepanjang perjalanan.

Untuk ke Pulau Lombok, kita boleh menaiki Pesawat Airasia yang berlepas dari KLIA2.
Lapangan terbangnya pula besar dan bertaraf international. Waktu di Lombok juga sama dengan waktu di Malaysia dan bukan lewat 1 jam seperti di kawasan lain Indonesia.

Kampung tradisional masyarakat Sasak Ende

Perkampungan Tradisional Masyarakat Sasak Ende iaitu masyarakat pribumi Lombok, ini sengaja dikekalkan sebagai salah satu tarikan pelancongan oleh pihak berwajib. Apa istimewanya kampung ini?

Sebenarnya binaan rumah masyarakat kampung ini, lantainya diperbuat dari najis lembu dicampur dengan tanah liat.

Dikatakan ketika simen belum ada lagi, mereka menggunakan najis lembu menggantikan simen. Ketika pertama kali meninjau keadaan dalam rumah kelihatannya lantai rumah nampak bersih dan tidak berbau. Atap rumah diperbuat dari sejenis daun seperti lalang dan boleh tahan untuk tempoh 2 tahun sebelum diganti baru.




Tenunan Lombok

Lombok memang terkenal dengan tenunan kain dan songket. Di dalam kampung berkenaan saya lihat seperti ada banyak rumah yang menjalankan aktiviti tenunan kain, cuma kami hanya melawat satu rumah sahaja.

Penghasilan kain tenunan songket Lombok mengambil masa antara 2 bulan hingga 4 bulan bergantung kepada jenis tenunan. Dan apabila siap ia dijual antara Rp100 ribu ke atas (RM30+). Saya rasa tak sampai hati pula untuk meminta diskaun apabila membeli kain tenunan songket buatan Lombok ini, bila mengenangkan kesusahan dan lamanya proses menghasilkannya.

Menu makanan Lombok

Menu sajian makanan Lombok memenuhi selera orang kita. Makanan Lombok kebanyakan jenis kering dan tiada kuah. Ada nasi, sayur, lauk pauk sama macam Nasi Campur di tempat kita. Ada kala mirip dengan makanan masyarakat Sunda yang tiada kuah. Makanan yang popular di sini antaranya Ayam Taliwang.
loading...

SHARE THIS
Loading...

Author:

seorang ibu dan blogger bebas ,memaparkan kisah-kisah menarik dari seluruh dunia

Loading...

0 ulasan: