loading...
Loading...
Rafflesia,,,,,Si Busuk Di Tengah Rimba
Sejam meredah hutan dan sungai selain menaiki kenderaan pacuan empat roda selama 20 minit untuk sampai ke Hutan Simpan Gerik dari Kampung Bongor, Perak antara pengalaman unik yang diperoleh Zuraidah Othman, 42.
Zuraidah yang mengetuai sekumpulan 10 orang pencinta alam dari Shah Alam, Selangor yang diberi nama Hiking Gurl turut ‘berperang’ dengan pacat untuk melihat sendiri bunga Rafflesia daripada spesies Psychotria cantleyi di kampung itu.
“Kepenatan berjalan, merangkak dan mendaki laluan selain digigit pacat hilang selepas bertemu sang gergasi yang sedang mekar itu,” katanya.
Tambah Zuraidah, dalam perjalanan ke lokasi bunga itu, kumpulan tersebut turut didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai herba dan pokok-pokok hutan yang jarang ditemui.
“Pengalaman ini pasti akan membuatkan kami lebih menghargai alam semula jadi yang begitu subur dan hijau di negara sendiri.
“Syabas diucapkan kepada para penduduk Kampung Bongor atas inisiatif menjaga dan memelihara khazanah alam ini buat tatapan generasi sekarang,” ujarnya.
Tidak semua orang dapat merasai pengalaman indah melihat dan memegang bunga terbesar di dunia itu.
Ini kerana bunga Rafflesia hanya tumbuh mekar di empat negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Di Malaysia, bunga yang turut dikenali dengan nama bunga pakma itu mempunyai diameter yang boleh mencecah sehingga satu meter itu.
Bagaimanapun, ia hanya boleh ditemui di beberapa negeri seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Perak.
Zuraidah menambah, mereka sangat bertuah kerana dapat melihat bunga berbau busuk yang sukar ditemui itu walaupun hanya satu bunga yang kembang mekar dengan lima kelopak.
Seorang pelawat cilik, Muhammad Amirul Faiz Ishak, 9, turut meluahkan perasaan teruja ketika pertama kali melihat bunga Rafflesia itu kembang mekar di dalam hutan.
“Inilah kali pertama saya melihat bunga ini. Biasanya saya hanya tengok dalam gambar.
“Sangat menarik untuk dikaji bagaimana ia boleh hidup dengan hanya menumpang pokok lain dan tanpa daun,” kata Muhammad Amirul Faiz yang mengikuti bapanya masuk ke hutan itu.
Tambahnya, dia akan mencadangkan kepada pihak sekolah supaya mengadakan lawatan sambil belajar ke hutan itu bagi melihat dan mengkaji habitat bunga tersebut.
Tidak pupus
Sementara itu, Pengarah Pelancongan Rafflesia Kampung Bongor, Ishak Yahya berkata, usaha menjaga dan memelihara habitat bunga itu bermula sejak tahun 2006 selepas dia menyedari sesuatu perlu dilakukan agar ia tidak pupus di kawasan di Kampung Bongor.
“Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila penduduk kampung sendiri mendapat manfaat selepas menyediakan pakej pelancongan untuk orang ramai yang mahu melihat sendiri bunga itu.
“Para pengunjung akan dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda selama 20 minit ke Hutan Simpan Gerik sebelum mula memasuki hutan dengan berjalan kaki,” katanya.
Tambahnya, pengunjung dapat melihat keindahan semula jadi hutan itu kira-kira sejam sebelum tiba di lokasi yang terdapat bunga-bunga Rafflesia.
Katanya, pokok bunga yang tumbuh secara liar di sekitar kaki bukit di hutan itu memudahkan pengunjung untuk menimba pengalaman melihat bunga tersebut dari dekat.
“Setiap pengunjung yang ingin melihat bunga itu perlu memaklumkan kehadiran mereka kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlebih dahulu.
“Kami tidak menggalakkan pengunjung memasuki Hutan Simpan Gerik secara sendirian kerana khuatir dengan keselamatan mereka,” ujarnya.
Katanya, ia juga sebagai langkah pemantauan terhadap bunga itu supaya habitatnya tidak terjejas oleh sikap rakus manusia.
“Pakej yang ditawarkan dengan harga RM50 itu juga merangkumi makan tengah hari nasi buluh bersama ikan bakar di kaki bukit berhampiran sebuah anak sungai yang jernih airnya.
“Uniknya nasi buluh itu dimasak seperti kaedah membakar lemang, ditambah dengan pelbagai ulaman kampung dan hutan yang segar serta menyelerakan,” katanya.
Ishak menambah, selepas dibakar selama kira-kira satu jam, nasi itu akan dihidangkan bersama ikan sebarau atau talapia bakar yang dicecah dengan air asam mahupun kicap berlada.
Menurut Ishak, pengunjung yang memasuki hutan untuk menyaksikan bunga Rafflesia itu tidak harus melepaskan peluang menikmati masakan istimewa penduduk kampung berkenaan.
Bunga eksotik
Pengerusi Pelancongan Rafflesia Kampung Bongor, Mohd. Sobi Ismail berkata, selain sukar ditemui di tempat lain, keunikan bunga eksotik itu turut terletak pada episod kehidupannya yang hanya mekar selama tujuh hari sebelum layu.
Mohd. Sobi bagaimanapun, tidak dapat menjangka berapa banyak bunga akan kembang mekar pada satu pokok kerana mengikut keadaan.
Bagaimanapun katanya, ia akan berbunga sepanjang tahun.
“Pokok bunga Rafflesia hidup dengan menumpang tumbuhan lain. Pokoknya hidup tanpa batang dan daun, cuma akar yang menjalar.
“Daripada akar itu tumbuhnya kudup Rafflesia yang mengambil masa selama sembilan bulan untuk berkembang mekar,” katanya.
Kata Mohd. Sobi, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 35 populasi Rafflesia spesies Psychotria cantleyi di kawasan berkenaan dengan lebih 200 kudup.
Dalam pada itu, Setiausaha JKKK Kampung Bongor, Kamaruddin A. Rahman menjelaskan, pakej pelancongan tersebut berjaya memberi pendapatan sampingan buat para penduduk kampung.
“Ahli JKKK akan bermesyuarat terlebih dulu sebelum sesuatu trip melihat bunga Rafflesia di Kampung Bongor ini diadakan.
“Daripada mesyuarat inilah sesuatu tugas akan diagih-agihkan termasuk tugas menyediakan juadah, membawa pelancong ke lokasi dan keselamatan mereka,” katanya.
Katanya, perkara itulah yang menjadikan para penduduk lebih erat, sekali gus menambah pendapatan mereka yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah.
Kosmoloading...
0 ulasan:
Catat Ulasan