loading...
Loading...
Villa Lot 1638
sumber:Kosmo
SAAT terpandang sebuah vila mewah yang terletak betul-betul berhadapan sebuah sekolah menengah di bandar Port Dickson, Negeri Sembilan itu, hati kru Jurnal rasa terpanggil untuk menjengah masuk ke dalam dan melihat sendiri hiasan dalamannya yang kelihatan cukup memukau.
Pertemuan dengan pemiliknya begitu mudah diatur kerana kebetulan, Christy Leong bersama suaminya, C. P Loon yang mesra disapa Loon berkelapangan dan sudi untuk ditemu bual.
Lokasi yang sedikit tersembunyi dari kesesakan lalu lintas menjadikan kawasan itu sesuai buat mereka yang mahu merehatkan minda.
Disambut mesra oleh salah seorang pekerja bertugas, kru Jurnal kemudian mengambil tempat di sebuah meja bulat yang terletak berhadapan kolam renang sambil mata ligat memerhatikan keseluruhan kawasan vila yang dihias dengan konsep moden itu.
Pengunjung akan disambut dengan ambien tenang dan mendamaikan dengan limpahan rona kelabu yang memenuhi segenap ruang luar.
Pemilihan warna lembut seperti kelabu cair pada bahagian luar menjadikan kawasan vila kelihatan moden, mewah dan elegan.
Deretan meja dan kerusi santai daripada pelbagai jenis yang diletakkan betul-betul hadapan sebuah kolam renang besar Villa Lot 1638 itu mencuri tumpuan pengunjung dan ia kelihatan lain daripada yang lain.
Percutian keluarga
Setelah selesai berurusan dengan seorang pengunjung vila pada petang itu, Christy kemudian membuka bicara tentang Villa Lot 1638 yang mula beroperasi pada bulan Ogos tahun lalu.
“Sebenarnya, tujuan vila ini dibina adalah untuk dijadikan rumah percutian kami sekeluarga. Kami membina empat unit vila peribadi di atas tanah seluas 2,757 meter persegi ini.
“Begitu pun, selepas menyedari ahli keluarga yang lain jarang datang ke sini, kami mengambil keputusan untuk mendaftarkan tiga unit lain sebagai Airbnb untuk disewakan. Boleh juga kami mencari pendapatan sampingan sehingga kami bersara kelak,” jelas Christy tentang Villa Lot 1638.
Mengulas lanjut, Christy berkata, tiga unit tersebut dihias dengan konsep berbeza bagi memberikan pilihan yang pelbagai kepada pengunjung.
Melangkah masuk ke salah satu unit yang bertemakan Oriental Cina, mata kru Jurnal tertumpu kepada corak pada bingkai katil di bilik tidur tersebut yang cukup moden, namun sentuhan Orientalnya tetap menjadikan keseluruhan kawasan vila dipenuhi ambien klasik.
“Kami tidak menyangka bahawa unit ini merupakan unit yang paling diminati pengunjung-pengunjung berbangsa Melayu. Mungkin kerana mereka sukakan sesuatu yang berbeza dan tertarik dengan hiasan bertemakan Oriental Cina semasa menginap di sini,” ujar Christy lagi.
Bagi unit vila dengan konsep moden pula, pemilik masih mengekalkan rona hitam sebagai rona utama bagi hiasan dalaman bagi mencipta kesenadaan.
Sedikit limpahan warna hitam turut diletakkan pada bahagian dinding ruang tamu bagi mengelakkan ia kelihatan membosankan.
Tema berbeza
Pemilihan perabot seperti sofa dan meja kopi dari rona hitam juga cukup bersesuaian dengan konsep moden yang diterjemahkan pemilik.
Selaku seorang arkitek yang berpengalaman, Loon tahu apa yang dimahukan untuk vila itu dan gembira apabila berjaya menterjemahkannya dalam binaan empat unit vila itu.
“Jika dilihat, tidak banyak perubahan ketara yang dilakukan pada setiap unit yang ada. Kami hanya mengubah jenis perabot dan warnanya bagi mencipta sedikit kelainan, sesuai dengan konsep vila,” ujar Loon.
Bagi unit vila terakhir dengan tema warna-warni, ia dilimpahi dengan dekorasi bantal-bantal kecil daripada pelbagai rona bagi mencipta suasana ceria.
Hamparan permaidani dari rona hitam diletakkan pada unit itu kerana penggunaan warna-warna terang yang terlalu banyak hanya akan menjadikan kawasan tersebut kelihatan serabut.
Istimewanya, unit itu merupakan satu-satunya unit yang dilengkapi dengan kawasan barbeku, sesuai buat pengunjung yang mahu berbarbeku bersama ahli keluarga.
Dari sudut pencahayaan, vila yang mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan itu dilihat menggunakan lampu-lampu jenis ringkas dan moden.
Biarpun tanpa sebarang hiasan lampu jenis candelier, kesemua unit vila masih mampu kelihatan mewah kerana pemilik bijak menggabungkan warna dinding bersama hiasan dalaman.
sumber:Kosmo
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan