loading...
Loading...
Hidangan Belangkas Berdarah Biru Yang Sedap Di Kota Tinggi,Johor
Bagi mereka yang berkunjung ke Kota Tinggi, Johor, tidak lengkap jika tidak menikmati hidangan belangkas yang juga menu utama kebanyakan penduduk setempat untuk juadah tengah hari atau malam.
Belangkas adalah hidupan laut berdarah biru dan ia dicari untuk dijadikan hidangan bukan kerana isi tetapi telurnya.
Ini kerana telurnya yang berwarna kekuningan dan mempunyai rasa lemak dan kenyal lebih banyak berbanding isi yang putih seperti ketam. Bagaimanapun, ada cara tertentu untuk menyediakan hidangan belangkas kerana haiwan ini dikatakan mempunyai toksin atau racun pada badannya yang boleh menyebabkan mabuk atau pening.
Bagi Okid Abdullah yang mengusahakan Warung Penghulu Kak O di Teluk Sengat, Kota Tinggi, belangkas mesti direndam ke dalam air beras bagi menghilangkan bau hanyir.
“Hanya belangkas betina ditangkap untuk mendapatkan telurnya. Kemudian ia dipotong di bahagian tengah dan kakinya ditarik keluar. Racun belangkas atau juga najisnya ada di tengah-tengah perutnya, oleh itu ia perlu dibuang dengan berhati-hati.
“Belangkas yang dibersihkan dipotong beberapa bahagian untuk dimasak. Ia boleh dimasak pelbagai menu masakan seperti asam pedas, masak lemak cili api atau dibakar tetapi hidangan popular disediakan adalah masak sambal,” katanya.
Okid bersama anak saudaranya, Marliyana Abdul Manan, menyediakan hidangan belangkas sejak lima tahun lalu berikutan permintaan tinggi dalam kalangan penduduk setempat termasuk pengunjung tempatan dan pelancong asing.
“Bekalan belangkas diperoleh daripada nelayan tempatan dan lokasi Teluk Sengat berhampiran pantai memudahkan kami mendapat bekalan yang banyak.
“Kebanyakan pelanggan datang dari luar Kota Tinggi, malah ada yang sanggup datang dari Perlis semata-mata ingin menikmati hidangan belangkas. Pelancong Singapura juga gemar makan belangkas dan biasanya mereka menempah terlebih dulu sebelum datang,” katanya.
Kedai makan yang terletak kira-kira 39 kilometer dari pusat bandar itu juga menyediakan hidangan lain yang mendapat permintaan tinggi pelanggan seperti asam pedas ikan sembilang, siput gonggong rebus dan ketam cili bertelur.
“Bagaimanapun, siput gonggong adalah hidangan bermusim kerana haiwan ini banyak didapati cuma ketika air laut surut dan selain rebus, ia juga dimasak singgang.
“Bagi mereka yang kali pertama menikmati hidangan belangkas ini, boleh cuba petua dengan mengelak meminum kopi supaya tidak rasa mabuk,” katanya.-Metro
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan