Selasa, 3 Januari 2017

Bermalam Di Inap Desa Cantik Berwarna Warni

terimakasih sudi like
loading...
Loading...
Bermalam Di Inap Desa Cantik Berwarna Warni
LELAKI berusia 45 tahun itu tenang menikmati pemandangan indah seni bina Belanda sambil menghirup udara segar desa di depan pintu rumah inap desanya.
Suasana sunyi dan hijau di kawasan sekitar rumah inap desa Masbro Village Boutique Homestay (Masbro Village), Paya Rumput, Melaka itu menambahkan lagi nikmat kepada Shahrul Rizman Hanafi untuk merehatkan diri.
Sesekali Shahrul Rizman menoleh ke arah kolam renang yang terletak berhadapan rumah inapnya untuk melihat kelibat anak-anak bermain air.
Selepas puas menyaksikan pemandangan di luar, bapa kepada empat cahaya mata itu memilih untuk berehat di ruang tamu sambil berbual bersama isterinya.
Itulah sebahagian daripada keseronokan dan ketenangan yang dapat dirasai oleh para pengunjung di rumah inap desa Masbro Village.
Terletak 20 kilometer dari susur keluar Simpang Ampat, rumah inap desa itu sentiasa menjadi tumpuan ramai kerana reka bentuknya yang unik.
Rumah inap desa itu dibina dengan bentuk A dengan landskapnya yang tidak ubah seperti di negara Barat.
“Ini kali pertama saya menginap di sini. Saya sangat tertarik dengan reka bentuknya yang unik. Malah, ruang dalamannya juga amat selesa.
“Struktur luar yang berwarna-warni menambahkan lagi keindahan pemandangan di sini, sekali gus melahirkan ketenangan dalam diri,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

MASBRO Village mempunyai landskap seperti di Belanda.


Idea
Tambah lelaki yang berasal dari Semenyih, Selangor itu, kedudukan Masbro Village yang terletak jauh dari kawasan bandar merupakan salah satu faktor dia memilih untuk menginap di situ.
Katanya, kedudukan tersebut membolehkan inap desa tersebut lebih sunyi dan privasi.
Sementara itu, Pemilik Masbro Village, Mas Faizil Khan Ali, 49, berkata, idea untuk membina rumah inap desa itu adalah hasil ilhamnya sendiri.
Katanya, sebagai seorang peminat bidang seni bina, dia sentiasa mencari idea untuk membina sebuah binaan yang cantik dan menarik.
“Idea untuk membina rumah ini datang dengan sendiri. Saya tidak menciplak mana-mana seni bina. Cuma baru-baru ini, saya ke Belanda dan saya dapati ia sama dengan seni bina di sana.
“Pada peringkat awal, saya hanya membina empat buah rumah ini untuk kemudahan kami adik-beradik menginap ketika pulang ke Melaka.
“Disebabkan reka bentuk dan warna yang berwarna-warni, maka ia sentiasa mendapat perhatian ramai. Jadi, kami adik-beradik bersetuju menjadikan ia sebagai inap desa,” katanya.
Ala loteng
Kini, Masbro Village memiliki sebanyak 22 buah rumah di atas tanah seluas 0.8 hektar.
Menurut Mas Faizil, setiap rumah dibahagikan kepada dua tingkat iaitu di bahagian bawah merupakan ruang tamu dan dapur sementara bilik tidur di tingkat atas.
“Rumah ini dibina ala loteng dan amat sesuai dijadikan tempat percutian keluarga yang sukakan suasana privasi.
“Sebuah rumah inap hanya dibenarkan didiami seramai enam orang dalam satu-satu masa. Setiap tambahan penginap akan dikenakan caj RM30,” terangnya.
Setiap rumah inap juga dilengkapi dengan kemudahan seperti televisyen, peti ais, dua katil bersaiz besar, bilik air, pendingin hawa, sofa dan ketuhar.
Masbro Village turut dilengkapi kemudahan parkir berhampiran rumah inap selain kolam renang yang luas.
Tambah Faizil, Masbro Village terletak di tengah-tengah tempat tarikan utama di Melaka seperti Bandar raya Melaka, Tanjung Bidara dan Freeport A’Famosa Outlet.
“Kami bukan sahaja menerima pengunjung dari dalam, malah luar negara seperti Singapura, India, Britain dan Jepun.
“Biasanya, inap desa ini penuh setiap kali cuti hujung minggu dan cuti sekolah,” katanya sambil memaklumkan Masbro Village dalam proses pembinaan sebuah kafeteria.
Salah seorang pengunjung, Azlina Rajudin, 36, memberitahu, dia sekeluarga sangat berpuas hati dengan penginapan dan kemudahan yang ditawarkan di Masbro Village.
Jelas wanita yang menetap di ibu negara itu, ruang dalaman rumah inap itu sangat luas dan selesa buatnya seisi keluarga.

BAHAGIAN atas rumah menempatkan bilik tidur yang dilengkapi dua buah katil besar.


“Saya tinggal di sini selama tiga hari dua malam. Sepanjang tinggal di sini, tiada sebarang masalah berlaku.
“Malah, anak-anak saya tidak mahu pulang kerana masih belum puas mandi di kolam renang,” jelas ibu kepada empat cahaya mata itu.
Azlina yang juga seorang jurutera Petronas menambah, harga yang ditawarkan di Masbro Village juga cukup berpatutan iaitu serendah RM280 semalam.
Katanya, harga itu jauh lebih murah berbanding menginap di hotel-hotel sekitar Melaka.
“Pada saya, harga di sini cukup murah kerana kemudahan yang disediakan setaraf hotel-hotel terkemuka. Lagipun, menginap di sini tidak ubah seperti tinggal di rumah sendiri kecuali reka bentuknya sahaja yang lain,” katanya.

kosmo.
loading...

SHARE THIS
Loading...

Author:

seorang ibu dan blogger bebas ,memaparkan kisah-kisah menarik dari seluruh dunia

Loading...

0 ulasan: