loading...
Loading...
Syarat buang tatoo
SANDI (kanan) menyediakan perkhidmatan membuang tatu.
BAGI membantu umat Islam menghilangkan tatu, Sandi Widodo yang mengusahakan perniagaan penghapusan tatu mengenakan bayaran yang rendah kepada para pelanggannya.
Umat Islam di Indonesia yang berhasrat untuk membuang tatu di kedai yang terletak di Jakarta itu, mereka harus membaca 50 ayat al-Quran terlebih dahulu dan betul-betul bertaubat serta menyesali akan perbuatan mereka mencacah tatu pada masa lampau.
Bagi Riki Irawan, dia sanggup membayar sejumlah wang untuk membuang tiga tatu pada tubuh badannya agar dia lebih dekat dengan Tuhan.
Dia juga mempunyai alasan lain untuk membuang kesemua tatu tersebut kerana ibu bapa tunangnya hanya akan membenarkan mereka berkahwin jika Riki tiada tatu di badan.
Negatif
“Kegembiraan untuk mempunyai tatu adalah hanya untuk sementara.
“Beberapa minggu selepas itu, ia tidak akan memberi apa-apa makna,” kata pemuda berusia 31 tahun itu.
Riki sendiri tidak menyesal untuk membuang tatu di klinik milik Sandi itu walaupun senarai menunggu lebih 1,000 orang.
Stigma mencacah tatu telah lama berlaku di Barat dan ramai anak muda, selebriti serta atlet mempamerkan tatu di tubuh mereka di khalayak ramai.
Namun, bagi sesetengah negara di Asia, tatu sering dikaitkan dengan jenayah dan kejatuhan moral.
Tatu turut dilarang dalam Islam dan membuatkan penduduk di Indonesia yang majoriti Muslim terbesar di dunia sukar berbuat demikian.
“Bila bertatu, ia tidak memberi rasa selesa untuk masuk ke dalam masjid. Walaupun saya cuba berkelakuan seperti biasa, orang tetap akan melihat saya,” kata Sandi yang masih mempunyai tatu pudar pada sebelah wajahnya.
Profesion Sandi kini sudah berubah dengan menjadikan perniagaan membuang tatu sebagai satu kerjaya.
Sebelum ini, dia merupakan artis pembuat tatu yang berjaya di pulau peranginan Bali yang majoriti penduduknya beragama Hindu.
Namun, Sandi yang kini dalam usahanya menjadi seorang yang patuh pada agama mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya lamanya itu.
“Tatu sering dikaitkan dengan perkara negatif seperti dadah dan berparti.
“Jadi, saya mengambil keputusan untuk berhenti dan menjual segala peralatan,” katanya.
Para ulama Muslim di Indonesia telah menyatakan hukum membuat tatu dengan jelas.
“Tatu tidak dibenarkan dalam Islam kerana ia bukan sahaja menyakitkan diri sendiri tetapi mengubah ciptaan Tuhan.
“Jika boleh, hilangkan tatu itu dan bertaubat. Jika anda tidak dapat menghilangkan tatu tersebut kerana ia terlalu menyakitkan, maka biarkan ia tetapi anda masih perlu bertaubat,” kata Huzaemah Tahido yang merupakan seorang pegawai Majlis Ulama Indonesia.
Kumpul dana
Sementara itu, bagi Renny Rengganis yang juga merupakan seorang Muslim, dia tidak mempunyai rancangan untuk bertaubat atau membuang tatu pada tubuh badannya.
Malah, dia mahu membesarkan lagi tatu pada badan walaupun dilarang oleh saudara-maranya.
“Saya mempunyai hak untuk melakukan apa yang saya mahu terhadap tubuh sendiri.
“Saya hanya menyukai tatu dan setiap corak ia mempunyai makna yang tersendiri. Ia akan kekal pada badan saya selama-lamanya,” jelas pegawai perhubungan awam itu.
Bagi mereka yang menyesali mencacah tatu di tubuh badan, banyak klinik di Indonesia yang menawarkan perkhidmatan membuang tatu.
Namun, kebanyakannya mengenakan harga yang tinggi dan di luar kemampuan rakyat Indonesia untuk membayarnya.
Kini, banyak klinik membuang tatu yang lebih murah dibuka di Indonesia dengan syarat pelanggan perlu membaca beberapa ayat-ayat al-Quran.
Bagi Sandi, sebelum dia membuka klinik membuang tatu, dia terpaksa melakukan kempen bagi mengumpul dana untuk membeli sepasang mesin laser membuang tatu yang berharga AS$6,500 (RM26,000).
Kliniknya yang mempunyai slogan yang berbunyi, Jatuhkan dosa-dosamu, genggam tangan seorang saudara Muslim baru sahaja beroperasi.
Ratusan pelanggan telah menggunakan khidmat Sandi untuk menghilangkan tatu dan ramai lagi yang sedang menunggu giliran.
Perkhidmatan yang dikenakan oleh Sandi untuk menghilangkan tatu sekitar AS$11 (RM44).
Salah seorang pelanggannya, Maulidul Irfan berkata, dia membuat tatu ketika masih remaja. Dia juga telah mencuba pelbagai cara untuk menghilangkan tatu sehingga merosakkan kulitnya.
“Saya belajar untuk menjadi guru pengajian Islam dan saya malu jika bertatu.
“Orang tidak selalu menghakimi siapa kita sekarang tetapi apa yang kita lakukan pada masa lalu,” kata lelaki berusia 23 tahun itu.
– AFP
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan