loading...
Loading...
Cantiknya Rumah Kampong Ala Rumah Ladang Inggeris
SETIAP kali rakan mahupun ahli keluarga berkunjung ke teratak pasangan Asri Meris, 33, dan Siti Rohani Shuib, 30, di perkampungan terancang di Tuaran Sabah, mereka berasakan seperti sedang bercuti di luar negara.
Mana tidaknya sebaik saja menjengah ruang tamu pasangan berkenaan, terdapat binaan seperti pendiang api yang sering dilihat dalam rumah ladang di negara Barat menghiasi ruang itu.
Ruang tamu juga diserikan dengan jambangan bunga tulip palsu berwarna merah jambu lembut sedia menanti di sisi lilin dan replika bebola benang di atas meja kayu putih.
Batang gandum kering yang diletakkan dalam raga putih berdekatan pendiang api melengkapkan hiasan rumah ladang ala Inggeris itu.
Sebaik Asri berkongsi gambar kediamannya di akaun Facebook untuk tatapan peminat hiasan dalaman rumah, rata-rata menyangkakan gambar terbabit ialah koleksi kediaman di luar negara.
Apabila dipaparkan dua puterinya, Putri Aysha yang berusia dua tahun dan Putri Asfiya, sembilan bulan, beraksi comel di ruang berkenaan, barulah netizen mempercayai rumah istimewa itu ada di sini.
Menurut Asri, rumah berkenaan asalnya rumah kampung yang biasa-biasa, kemudian menjalani proses ubah suai dengan konsep kediaman ladang ala Inggeris kerana dia sememangnya mengidamkan suasana seperti penginapan luar negara.
“Minat terhadap dunia hiasan dalaman sudah ada sejak zaman bujang. Maklumlah ketika itu saya sering melancong ke luar negara dan terdedah dengan hiasan pusat penginapan mahupun kediaman di Eropah.
“Kalau orang lain gemar merakam gambar detik penting mereka atau panorama, saya pula merakam gambar bumbung, pintu, tingkap serta aksesori hiasan dalam rumah.
“Apabila berkahwin pula, isteri juga sukakan benda cantik dan gemar mengambil gambar, membuatkan hobi berkenaan semakin menjadi-jadi. Sekarang kami sedang menukar keseluruhan hiasan dalaman rumah kepada konsep rumah ladang Inggeris,” katanya yang juga pereka dalaman AsriSiti Deco (ASD).
Pemilihan tema itu bersesuaian dengan struktur rumah asal yang masih mengekalkan kayu sebagai bahan binaan asas. Namun beliau tidak lupa menyelitkan elemen kontemporari seiring dengan perubahan konsep dekorasi rumah menerusi panel tingkap dan pintu.
“Bagi memastikan setiap aspek kediaman memenuhi konsep rumah ladang ala Inggeris, saya memperbanyakkan penggunaan warna putih selain material kayu agar tampak elemen ‘desa’.
“Tidak mahu nampak terlalu suram atau bosan, saya adun konsep ini dengan pemilihan warna pastel seperti biru Tiffany pada langsir atau kusyen bagi menaikkan seri ruang.
“Rumah ini keluasannya agak terhad dengan bahagian ruang tamu dan makan berkongsi kawasan, sementara dapur diasingkan menerusi susun atur perabot iaitu penggunaan almari sebagai pembahagi ruang.
“Untuk ruang makan pula, saya serlahkan sedikit elemen elegan dan sofisikated menerusi perincian pada lampu serta meja kayu yang dipadankan dengan kerusi ala kristal atau lebih dikenali ‘ghost chair’ dalam kalangan peminat deko.
“Di atas meja makan pula diletakkan dua pemegang lilin berkonsepkan ala Inggeris yang membantu menyerlahkan lagi ruang terbabit yang kebetulan kedudukannya selari dengan balkoni rumah,” katanya.
Asri berkata, untuk mendapatkan aksesori bertepatan konsep rumah ladang ala Inggeris agak sukar kerana kriteria tema itu bercirikan kedesaan yang sederhana.
“Kalau pilih terlalu bermotifkan bunga khuatir konsep berkenaan menjadi ‘Inggeris Cottage’ tapi kalau moden dan banyak kayu, bimbang ia lebih bercirikan Scandinavia.
“Jadi untuk lebih selamat, disarankan memperbanyakkan penggunaan warna putih selain dapatkan aksesori berwarna pastel tanpa ada corak atau motif sarat. Ini termasuk untuk perkakas dapur seperti jag, cerek atau pinggan mangkuk,” katanya.
Asri dibantu isteri dalam hal pembelian barangan yang sering menggunakan platform atas talian bagi pembelian barangan mahupun perabot tema terbabit.
Meskipun ramai yang mengimpikan penggunaan warna putih dalam kediaman, rata-rata mengakui terpaksa melupakan hasrat berikutan memiliki anak yang masih kecil.
Pengalaman Asri tidak jauh bezanya dan dia sering dibantu isteri memastikan ruang berkenaan sentiasa terjaga dengan baik. Kaedah lain disarankan beliau ialah membiasakan anak dengan persekitaran yang sedemikian kerana lama-kelamaan mereka mula jemu dan tidak menjadikannya sebagai barang mainan.
Ketika ini, beliau sedang merancang membuat pengubahsuaian dapur dan penambahan ruang tertentu bagi kegunaan kedua-dua puterinya.
“Ruang dapur di kediaman kami sangat asas dan sukar untuk keluarga yang berkunjung berkumpul dengan selesa di situ. Jadi ada perancangan untuk penambahbaikan ruang berkenaan selain tempat anak bermain.
“Ketika ini mereka menggunakan balkoni untuk bermain yang juga menjadi ruang membaca menerusi perabot ringkas seperti meja dan dua kerusi. Untuk menjadikan ruang itu privasi saya hiaskan balkoni dengan pokok hiasan seolah-olah taman mini,” katanya.
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan