Khamis, 20 Julai 2017

Hidangan enak di DULANG TEA HOUSE

terimakasih sudi like
loading...
Loading...
Hidangan enak di DULANG TEA HOUSE


Tenang dan mendamaikan. Siapa saja pasti kagum dan tidak jemu melihat pemandangan indah menghijau dengan landskap gunung-ganang yang menjadi latar taman tema di Sunway City Ipoh, Tambun, Perak.
Sehari tidak cukup untuk penulis meneroka semua tarikan yang ada dan tidak harianlah pengunjung pasti datang semula untuk menikmati keindahannya.
Kunjungan kali ini, penulis memilih percutian santai dan relaks dengan melakukan aktiviti yang merehatkan minda.

HIPPO KINGDOM
Sebaik tiba di Lost World Of Tambun(LWOT), aktiviti pertama dilakukan adalah mengunjungi tarikan terbaru iaitu Hippo Kingdom.
Walaupun sinaran matahari terik tapi tidak terasa bahangnya kerana kawasan ini dikelilingi pelbagai flora nan menghijau di sepanjang perjalanan menuju ke sana.
Meskipun boleh menaiki kereta api, penulis memilih untuk berjalan yang mengambil masa kurang 10 minit bagi menikmati keindahan alam semula jadinya.
Pengalaman istimewa di taman itu apabila dapat melihat badak air dari jarak dekat. Hanya cermin setebal 0.05 meter memisahkan pengunjung dengan badak air sememangnya memberi kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Menurut renjer di sana, habitat badak air yang sememangnya di dalam air kebiasaannya akan menghabiskan masa hingga 16 jam di air sehari. Setiap lima minit ia akan naik sedikit ke permukaan untuk bernafas.
Dalam Hippo Kingdom juga pengunjung boleh melihat haiwan lain seperti emu dan hyena selain memberi makan kepada rusa yang dilepas bebas dalam kawasan itu.

ONSEN NOODLE HOUSE
Restoran berkonsepkan makanan Jepun ini tampil berbeza dan unik dengan menggunakan air panas sebagai tarikan.
Menghidangkan bufet mi udon, pengunjung berpeluang mengalami ‘masak’ sendiri mi itu menggunakan air panas semula jadi.
Selepas memilih bahan, ia perlu diletakkan dalam bekas khas dan dimasukkan dalam kolam air panas mini untuk direndam selama tiga minit sebelum memilih kuah yang diminati.
Selain mi udon, terdapat beberapa menu lain yang boleh dipesan antaranya garlic rice with piri-piri chicken.

KOLAM AIR PANAS DAN SPA
Terkenal dengan kolam air panas, Lost World of Tambun menjadikan kolam air panas tarikan utama apabila berkunjung ke sini.
Setiap kolam mempunyai tahap dan suhu berbeza selain fungsi dan kebaikan yang tersendiri.
Foot Spa salah satu kolam air panas unik yang dipenuhi dengan batu kerikil berfungsi menghilangkan toksin melalui refleksologi kaki dan air panas semula jadi.
Pengunjung juga pasti tidak mahu ketinggalan ke Top Of The World Pool iaitu kolam jakuzi yang menawarkan rawatan terapeutik dan urutan air untuk otot, sendi dan titik tekanan.
Terdapat banyak lagi kolam air panas untuk diteroka antaranya Steam Cave, The Geyser of Tambun, Crystal Pool dan Infinity Pool.
Spa yang diberi nama ‘Crystal Spa’ pula dikelilingi dengan keindahan alam semula jadi memberi pengalaman baru dan tidak boleh dilupakan untuk merehatkan badan seperti menjalani rawatan urutan tradisional Melayu.

TIN STORY
Perak terkenal dengan perlombongan bijih timah dan menjadi identiti negeri itu hingga kini. Bagi mengekalkan dan memperingati kenangan lalu, LWOT turut menampilkan Tin Valley menawarkan pengalaman khusus kepada pengunjung yang ingin cuba mendulang.
Selain itu, persembahan dan demonstrasi diberi nama ‘Tin Story’ turut dipersembahkan setiap 3.30 petang mengetengahkan suasana seperti masa lampau di mana kaum Melayu, Cina dan India bermuafakat bekerja serta hidup bermasyarakat.
Pengunjung berpeluang mengambil gambar di arca gajah yang pernah dijadikan pengangkutan utama untuk mengangkut bijih timah terletak berhampiran kawasan lombong.

DULANG TEA HOUSE
Selepas penat ‘mendulang,’ pengunjung boleh singgah sebentar di Dulang Tea House dan menikmati minum petang yang unik serta enak di sana.
Menu istimewa yang dihidangkan adalah ‘roti tumbuk’ dan ‘roasted rice tea’ yang dikatakan menjadi minuman tenaga kepada pekerja lombong bijih timah ketika itu.
Berdekatan dengan Tin Valley, kafe santai dibina di gua batu kapur itu turut menempatkan galeri atau mini muzium memaparkan pakaian serta barangan lama digunakan ketika zaman perlombongan bijih timah.
Terasa seperti kembali ke zaman lalu, dekorasi di kafe itu begitu klasik dengan replika televisyen lama selain meja yang diperbuat daripada mesin jahit lama.

CATOPIA
Bagi penggemar kucing, Catopia adalah tarikan yang wajib dikunjungi. Menampilkan kucing daripada spesies berbeza, pengunjung pasti teruja melihat keletah kucing yang comel dan menghiburkan.
Membeli ‘anak bulus’ itu semestinya tidak membosankan selain mencuit hati seisi keluarga.
Lebih 10 spesies ditampilkan dan salah satu spesies menarik perhatian adalah kucing bengal iaitu kucing hutan karnivor yang diletakkan di dalam bilik kaca.
Penulis juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan kucing yang ada di dalam rumah kucing itu.

TALES OF TRIBE DI MONKEY VALLEY
Tepat jam 8.30 malam, paluan gendang berbunyi menandakan permulaan bagi persembahan yang bertemakan haiwan yang mencuit hati.
Antaranya, rakun membuat penampilan khas dengan melintasi penonton menggunakan tali sebelum mencabut kain rentang yang digantung.
Selain itu, serigala, ayam, burung dan itik turut melakukan persembahan dengan mengikut siulan renjer bagi menghiburkan pengunjung.

MAKAN MALAM DI IPOH STREET
Terasa seperti di bandar raya Ipoh, Ipoh Street di LWOT memberi pengalaman makan malam yang menyeronokkan.
Lebih 20 pilihan makanan dan minuman tempatan disediakan seperti chee cheong fun, kacang putih dan mi sup.
Menariknya, suasana dan hiasan yang diketengahkan membuatkan anda tidak mahu berganjak dari situ selain turut berpeluang merakam gambar sebagai kenangan.

PERSEMBAHAN FLAMING PERCUSSION
Aksi gerun memasukkan api dalam mulut antara kemuncak pertunjukan api yang diberi nama ‘Flaming Percussion’.
Persembahan yang dijalankan pada setiap 7.45 malam itu diiringi dengan muzik rancak meninggalkan kesan kerana aksi pemain api yang berani.
Mengambil masa sekitar 30 minit, persembahan yang diadakan di pentas utama LWOT itu pasti membuat pengunjung terpukau dan tidak jemu untuk kembali lagi.
loading...

SHARE THIS
Loading...

Author:

seorang ibu dan blogger bebas ,memaparkan kisah-kisah menarik dari seluruh dunia

Loading...

0 ulasan: