loading...
Loading...
Misteri Pulut, Ayam Panggang Di Pantai Pasir Lanun,Di Mana Lanunnya?
PANTAI Pasir Lanun terletak di Kampung Penyabong bagaikan permata yang tersembunyi ekoran lokasinya yang jauh ke dalam hutan.
PANTAI Pasir Lanun terletak di Kampung Penyabong bagaikan permata yang tersembunyi ekoran lokasinya yang jauh ke dalam hutan.
Namun, kebiruan air serta pasir pantainya yang putih bersih pasti memukau pandangan sesiapa sahaja.
Sebut nama pantai Pasir Lanun, perkara pertama terbayang pastinya ‘lanun’ itu sendiri. Benar-benar wujudkah lanun itu di sana?
Mengikut pemilik Pasir Lanun Camp and Chalet, Rahmat Awang, 62, cerita yang disampaikan dari generasi ke generasi memang mendakwa kewujudan lanun di kawasan itu suatu ketika dahulu.
“Orang dulu kata ini tempat lanun singgah. Betul atau tidak wallahualam. Katanya, lanun bukan rompak orang kampung tapi kapal-kapal dagang di laut dan mereka berehat di kawasan pantai dekat sini
“Selalu orang datang sini tanya saya tentang nama pantai Pasir Lanun. Mereka akui nama itu unik dan tanya betul ke lanun wujud?,” katanya kepada Sinar Harian.
Kata Rahmat, menurut cerita orang dulu-dulu juga, harta karun lanun itu telah disimpan dalam sebuah gua yang terletak tidak jauh dari kawasan chaletnya itu.
Namun, pintu masuk ke gua itu semakin tertutup dek pasir pantai yang mendap hingga menutup sebahagian pintu masuk.
“Saya pernah masuk sekali tapi separuh jalan saja. Saya hanya nampak lubang yang gelap. Tapi pekerja saya, Pak Wei ada masuk sampai ke dalam. Dua jam juga baru dia keluar dan apabila keluar basah kuyup dengan peluh, panas dalam gua itu.
“Dia cerita ada tiga pintu dan ada tangga di tiap pintu itu, tapi tingkat ke bawah yang ketiga itu tak boleh turun dah kerana dipenuhi air. Masuk dan keluar memang kena merangkak,” katanya.
Menurutnya, suatu ketika dahulu arwah bapanya dengan dua lagi rakan pernah mengorek tanah di atas gua itu untuk mencari pintu masuk.
“Masa itu mereka tak jumpa lagi pintu masuk yang sekarang. Jadi lepas korek punya korek mereka berjaya jumpa lubang, namun mereka tak berani turun.
“Sebab lubang itu terlalu dalam, tali mereka tak cukup panjang untuk turun. Saya pun tak pasti bila pintu masuk ke gua yang ada sekarang ini wujud,” katanya.
Namun katanya, lubang yang dikorek arwah bapanya itu telah ditimbus semula kira-kira dua tahun lalu susulan projek pembinaan jalan di situ.
Bawa pulut, ayam panggang
Ketika ditanya lanjut tentang gua itu, Rahmat mendakwa beberapa tahun lalu sekumpulan penyelidik dari sebuah universiti ada menunjukkan kepadanya tiga senjata diperbuat daripada emas yang telah ditemui.
“Mereka nak bawa balik untuk diletak di muzium katanya, jadi mereka minta izin dengan saya. Ada keris, kerambit dan lembing kecil semua dari emas. Jadi, saya diberi peluang melihat tiga barang itu.
“Sebelum ini ramai juga sebenarnya yang mencuba nasib di dalam atau di luar pengetahuan saya dengan macam-macam cara. Sampai ada yang bawa bomoh, pulut kuning dan ayam panggang.
“Saya tegurlah mana-mana yang saya nampak sebab tindakan itu syirik. Lebih baik kita makan pulut dengan ayam panggang itu,” katanya.
Di hadapan pantai Pasir Lanun, pengunjung bakal disajikan dengan pemandangan sebuah pulau dipanggil Pulau Acheh dan beberapa pulau lain seperti Pulau Seri Buat, Pulau Tengah dan Pulau Tunus di sekitarnya.
Untuk sampai ke sini sedikit mencabar kerana laluan masuknya merupakan jalan hutan yang agak berliku tidak berturap.
Pengunjung akan melalui beberapa kampung seperti Kampung Teluk Sari, Kampung Tanjung Resang dan Kampung Sisek sebelum sampai ke laluan masuk itu.
Pantai Pasir Lanun kini boleh dimasukkan dalam senarai lokasi wajib dilawati dalam rancangan percutian anda akan datang.
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan