loading...
Loading...
Sarajevo ..Bandar Duka Yang Sedang Dipujuk
.hmetro.com.my
SEBILJ yang dibina pada 1753 menjadi tumpuan pengunjung Dataran Bascarsija.
Terasa seperti terasing sebaik saja menjejakkan kaki di stesen bas utama Sarajevo, Bosnia-Herzegovina. Suasana lengang dan tidak kelihatan orang yang ramai menunggu bas di situ.
“Barangkali malam ini adalah malam tahun baru dan mungkin juga orang Sarajevo lebih selesa melepak di rumah daripada ke luar kota,” detik hati penulis untuk redakan emosi sendiri.
Jam di telefon bimbit menunjukkan waktu baru 8 malam dan suasana dingin yang mencecah aras bawah sifar sememangnya dugaan bilamana perlu berlegar-legar seorang diri di stesen bas mencari teksi dengan menggalas ‘bagpack’ dan ‘daypack’ yang berat kedua-duanya sekitar 15 kilogram.
Lega rasanya selepas berlegar-legar tanpa ada hala tuju bila ada lelaki separuh umur menyapa sambil menyebut teksi. Cepat-cepat penulis menunjukkan lokasi penginapan kepada lelaki itu kerana bahasa Inggeris tidak meluas di sini.
Sambil mengangguk tanda memahami destinasi, dia membawa penulis ke keretanya yang diparkir jauh dari stesen bas. Setibanya di tempat letak kereta, baru penulis sedar lelaki itu adalah pemandu kereta sapu memandangkan kenderaannya langsung tidak bercirikan teksi yang biasanya tertera ‘TAXI’ di bumbung kereta.
Tak kisahlah, asalkan sampai dek kerana tak tertahan dengan cuaca sejuk di luar. Dalam kereta penulis hanya bertawakal, mana tahu lelaki itu berniat tidak baik, lagi-lagi ada cerita mengenai kejadian penyeluk saku berleluasa di kota itu. Iya, penulis paranoid!
Sekitar 10 minit perjalanan akhirnya kereta sapu tadi berhenti di depan sebuah gereja besar, dan pemandu tadi memberitahu kenderaan tidak boleh memasuki kawasan bandar lama yang mana penulis perlu berjalan kaki kurang lima minit untuk ke tempat penginapan.
Nampaknya, penulis berjumpa dengan pemandu yang baik dan tidak menipu. Benar seperti katanya, kurang lima minit kemudian kelihatan papan tanda kecil nama hostel tempat penulis melelapkan mata malam itu.
Ketika melangkah ke hostel, penulis nampak ramai orang bersiar-siar di bandar lama dan kelihatan juga beberapa restoran mewah serta kelab hiburan sedang menerima kunjungan tetamu
TANAH Perkuburan Kovaci yang menempatkan pusara askar Islam Bosnia yang terkorban dalam peperangan 1992-1995.
Sebaik saja selesai urusan di kaunter hostel, penulis bersiap-siap untuk keluar makan malam dan lihat sendiri bagaimana orang Sarajevo menyambut tahun baru.
Malam itu, penulis pakai hanya ala kadar, berseluar jean, kemeja polos dan jaket tebal. Asalnya, penulis merancang untuk mengisi perut di kedai biasa di bandar itu tetapi nampaknya banyak yang sudah tutup kerana sambutan tahun baru.
Pilihan yang ada hanyalah restoran yang kelihatan mewah sambil kepala mencongak kos yang mungkin perlu dibayar untuk makan malam di situ. Akhirnya penulis melangkah masuk ke dalam sebuah restoran yang kelihatan ramai pelanggan sedang menjamu selera dengan alunan muzik jaz berkumandang dan rata-rata tetamunya memakai pakaian seperti mahu ke pejabat, kemas!
ANTARA lorong di bandar lama Sarajevo yang boleh ditemui pelbagai cenderahati murah.
“Yes, what can I help you?” soal pembantu restoran itu dengan riak muka serius dan penulis membalas, “I want have a dinner here and perhaps you can accept Euro because I don’t have Mark.
“Yes, we accept Euro but unfortunately we don’t have a table for you and it’s fully booked. Maybe you can sit at the corner,” katanya sambil menunjukkan satu lokasi agak tersorok yang menghadap dinding.
Penulis setuju untuk duduk di tempat yang ditunjukkan itu memandangkan waktu makin lewat dan perut kosong sejak dari Mostar siang tadi belum lagi diisi. Melihat harga yang ditawarkan tidaklah terlalu mahal, sekitar 15 euro (sekitar RM70) bagi satu set makan malam yang lengkap.
SUNGAI Majacka yang separa beku ketika senja memberikan panorama menarik musim sejuk.
Hampir setengah jam menunggu dan tangan sudah lenguh terlambai-lambai mahu memesan makanan tanpa ada seorang pun pelayan mengambil pesanan dan ada antara mereka buat seperti tidak nampak kewujudan penulis di sudut itu.
Rasa marah dan lapar bercampur-baur hinggalah seorang pelayan datang ke meja dan ingin mengambil pesanan, penulis bangun sambil berkata, “Thank you for your five star services,” penuh sindiran dan terus keluar dari restoran yang kononnya mewah itu.
Akhirnya, penulis balik ke hostel dan menjamah biskut bersama setin tuna yang dibawa dari Malaysia yang asal rancangannya untuk dibuat sarapan pagi esok.
Selesai mengisi perut, jam tangan menunjukkan waktu sudah hampir 11 malam dan suhu semasa mencecah -8 Celsius. Tinggal lagi sejam untuk kami di sini menyambut tahun baru sedangkan Malaysia sudah meraikannya kira-kira lapan jam lalu.
Penulis buat keputusan untuk ke luar semula dan bertanya kepada penjaga kaunter di hostel lokasi yang menjadi tumpuan utama orang Sarajevo menyambut tahun baru dan jawabnya, di situ mereka akan meraikan tahun baru di kelab memandangkan persekitaran terlalu sejuk di dataran utama.
Penulis mengambil keputusan untuk lepak di sebuah kelab yang tidak jauh dari hostel dan lagu rancak ala padang pasir bersilih ganti dimainkan DJ pada malam itu. Tepat jam 12 tengah malam semua tetamu berpelukan sambil melagakan gelas tanda ucapan tahniah, 2016 pun bermula.
Hari pertama tahun baru penulis bangun seawal jam lapan pagi dan harus bergegas untuk menerokai pusat bandar Sarajevo memandangkan suasana akan gelap sekitar jam empat petang.
Berpandukan peta pelancong, penulis memulakan perjalanan untuk menerokai Bandar Lama terlebih dahulu memandangkan di situ ada banyak bangunan tinggalan perang dan beberapa tugu menarik untuk dilihat.
LATIN Bridge antara mercu tanda Sarajevo.
Secara ringkasnya, Bandar Lama bermula dari Jalan Ferhadija di mana penulis dapat melihat pelbagai rumah ibadat yang dibina berkurun lalu terutamanya Masjid Gazi Husrev-beg yang dibangunkan pada abad ke-16 dan gereja terbesar di Bosnia-Herzegovina, Sacred Heart Cathedral.
Ketika melalui Masjid Gazi Husrev-beg, terdengar bacaan ayat suci al-Quran dan kelihatan ramai pengunjung mengambil kesempatan untuk memasuki masjid berkenaan yang turut mempunyai tanah perkuburan di depannya.
Selain itu, antara mercu utama Sarajevo ialah pondok kayu mata air yang dibina pada 1753 dan menjadi lokasi tarikan pelancong untuk merakam gambar.
Ada juga bazar yang menjual pelbagai barangan cenderahati dan deretan kedai makan yang rata-ratanya halal. Di Bosnia ada makanan tradisional yang wajib dicuba iaitu roti pintal yang disumbat daging lembu bakar berbentuk sosej serta bawang segar yang dikenali sebagai Cevapi.
Penulis meneruskan perjalanan hingga hujung jalan Bandar Lama dan dari jalan utama kelihatan bangunan seakan-akan istana menarik perhatian dan yang difikirkan ketika itu ialah ia mungkin lokasi terbaik bagi penulis mengambil gambar pusat bandar Sarajevo dari sudut pandangan lebih luas.
GEREJA Sacred Heart di tengah-tengah bandar lama.
Ketika menuju ke bukit berkenaan, panorama Sungai Mijacka separa beku dan airnya mengalir perlahan di bawah kolong Latin Bridge sememangnya menghidangkan pemandangan dan situasi yang indah.
Hampir setengah jam berjalan dan mendaki akhirnya penulis tiba di puncak bukit berkenaan. Ternyata perjalanan ke situ tidak sia-sia apabila penulis dapat lihat sendiri keluasan Bandar Raya Sarajevo, malangnya pemandangan kabur kerana terlalu banyak kabus.
Di atas bukit itu, di bahagian kanannya terdapat rumah kecil dan beberapa bukit lain sudah mula bersalji dan di bahagian kiri bukit kelihat kubur yang menghampar di satu bahagian bukit kecil lain.
Penulis berkesempatan bertanyakan pengunjung mengenai kubur berkenaan dan difahamkan ia adalah tapak pengkebumian anggota tentera Islam Bosnia yang terbunuh dalam peperangan pada 1995.
TANAH Perkuburan Kovaci yang menempatkan pusara askar Islam Bosnia yang terkorban dalam peperangan 1992-1995.
Ternyata perjalanan penulis ke beberapa negara Balkan pada kali ini terutamanya Bosnia-Herzegovina adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan dan bagi penulis, Sarajevo ialah seperti bandar berduka yang sedang dipujuk untuk berhenti menangis.
loading...
0 ulasan:
Catat Ulasan