Isnin, 8 Mei 2017

Rahsia Indahnya Alam Royal Belum

terimakasih sudi like
loading...
Loading...
Rahsia Indahnya Alam Royal Belum

Panorama Hutan Royal Belum sungguh menakjubkan. Di kelilingi oleh hutan yang berusia lebih 130 tahun dan merupakan hutan tertua di dunia malah lebih tua daripada usia hutan Amazon pastinya kunjungan anda ke sini memberi pengalaman yang sangat berharga.
Hutan yang gah ini memiliki pemandangan tasik dan hutan yang cukup indah serta menjadi destinasi pelancongan yang cukup menarik dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara jika berkunjung ke negeri Perak.
Terletak di bahagian utara Tasik Temengor, kewujudan taman negeri ini mempunyai rahsia alam dan keunikan tersendiri untuk ditawarkan kepada pelancong. Dianggarkan, Hutan Royal Belum memiliki lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang menjadikan kawasan hutan termasuk sungai serta tasik sebagai habitat.
Dikatakan juga di hutan inilah tempatnya untuk kita melihat kesemua spesies  burung enggang atau Kenyalang yang selama ini sering dikaitkan dengan negeri Sarawak. Jika bernasib baik anda juga akan dapat melihat spesies bunga Rafflesia.  Bersedia dengan kamera anda untuk merakamkan momen terindah yang dilihat.
Aktiviti menarik
 Buat anda yang meminati aktiviti outdoor, terdapat beberapa aktiviti trekking yang tidak boleh dilepaskan seperti menjejak bunga Rafflesia, trekking ke Santuari Ikan Sungai Ruok mahupun melawat Salt licks. Trip yang membawa kumpulan media ke sini tentu saja tidak lengkap tanpa penerokaan hutannya.
Perjalanan hampir setengah jam ‘jungle tracking’ memberi pengalaman yang mencabar terutama buat mereka yang pertama kali melakukan aktiviti ini. Jika tidak berhati-hati boleh menyebabkan kecederaan dan hati-hati dengan pacat! Saat tiba di puncak, rasa teruja dengan keindahan Air Terjun Sungai Kooi. Penat merentas hutan rimba, meredah air sungai, meniti kawasan berbatu-batuan tidak dirasai apabila melihat pemandangan yang melegakan.
Kami juga berkesempatan menjejaki Rafflesia namun agak kurang bernasib baik kerana dikatakan bunganya kurang menyerlah warna disebabkan kitaran hayatnya yang sudah di penghujung. Peluang bermain rakit buluh dan berkayak juga menyeronokkan. Bagi yang tidak pandai berenang, jangan risau kerana ada disediakan jaket keselamatan.

                    
Hutan Simpan Royal Belum ini juga dihuni oleh pelbagai etnik masyarakat asli. Mereka hidup secara berkelompok. Sumber utama makanan dan tempat tinggal mereka hampir sepenuhnya berasaskan sumber hutan.
Penulis bersama media lain turut dibawa melawat ke perkampungan Orang Asli yang menjadi penghuni asal hutan ini. Sebaiknya membawa buah tangan untuk diberikan kepada beberapa keluarga yang tinggal di situ. Mereka agak pemalu namun tidak kekok melayan pertanyaan dan berborak dengan kami. Ia tentunya memberi satu lagi memori indah buat kami apabila dapat melihat sendiri kehidupan orang asli.
Kemudahan
Anda boleh memilih sama ada untuk berkhemah dan menginap di chalet yang disediakan antaranya di Sg. Tiang. Jika anda sanggup berbelanja lebih untuk penginapan, bolehlah menyewa rumah bot yang terletak di Pulau Banding. Dengan menggunakan rumah bot, anda boleh berhenti di tempat-tempat yang sesuai mengikut cita rasa. Rumah bot di lengkapi dengan bot laju jadi mudahlah anda untuk melawati kawasan-kawasan yang lebih terpencil. Soal makan dan minum di dalam rumah bot sudah termasuk di dalam pakej.
Pengalaman tiga hari dua malam di Hutan Royal Belum memberikan pengalaman indah buat penulis terutama menyusuri tasik di atas rumah bot dan kesempatan mendiami chalet ditemani bunyi-bunyian unggas hutan yang mendamaikan. Sudah pasti Hutan Royal Belum akan dikunjungi lagi kerana penuh keindahan yang mengujakan.
INFO
Bagaimana Untuk ke Hutan Royal Belum
  • Pengangkutan air sahaja boleh membawa pelancong ke sini.
  • Laluan darat hanya dapat dihubungkan sehingga ke jeti awam, Pulau Banding iaitu lokasi terakhir sebelum ekspedisi seterusnya mengguna bot laju menyusuri Tasik Temengor.
  • Perjalanan dari Kuala Lumpur menggunakan Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) mengambil masa lebih kurang lima jam. Kemudian keluar di tol Kuala Kangsar menuju ke Grik.
Sumber:Libur
loading...

SHARE THIS
Loading...

Author:

seorang ibu dan blogger bebas ,memaparkan kisah-kisah menarik dari seluruh dunia

Loading...

0 ulasan: